Jenayah

3 Tuduhan Pengubahan Wang Haram RM47 juta: Najib Dilepas Tanpa Dibebaskan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Najib Razak daripada tiga tuduhan baharu membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta yang dikemukakan terhadapnya, minggu lalu.

Menurut laporan BH Online, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menarik balik pendakwaan yang dikemukakan terhadap Najib, 66.

Mohd Nazlan dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan mempunyai bidang kuasa untuk tidak meneruskan atau menolak pendakwaan pada mana-mana peringkat perbicaraan.

“Sehubungan itu, mahkamah melepas tanpa membebaskan tertuduh daripada ketiga-tiga pertuduhan itu,” katanya.

Terdahulu di awal prosiding, Thomas memberitahu mahkamah sebelum ini semua tujuh kes berhubung dana Syarikat SRC Sdn Bhd dipindahkan ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Ghandi Mutho dan Semenyih Jaya, timbul keraguan berhubung bidang kuasa pihak pendakwaan dalam memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi mengikut akta itu.

“Sehubungan itu, sebagai langkah berjaga-jaga, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan untuk memindahkan ketujuh-tujuh kes ke Mahkamah Tinggi mengikut peruntukan Seksyen 417 Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Thomas juga berkata, permohonan pendakwaan untuk menarik balik ketiga-tiga pertuduhan itu adalah bagi mengelakkan sebarang penangguhan kes dan supaya mahkamah tidak perlu mendengar permohonan untuk ia dibicarakan bersama tujuh pertuduhan SRC.

“Bagaimanapun, pihak pendakwaan akan menuduh semula Najib atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen di sini,” katanya.

Pada 28 Januari lalu, Najib didakwa atas tiga tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah keseluruhan RM47 juta, hasil aktiviti wang haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Nombor 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");