Berita Hari Ini

Minggu Dr Mahathir ‘Kenakan’ Semua Orang

Dua bulan lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PPBM berkata mereka tidak akan melebarkan sayap parti ke Sabah.

Minggu lepas, Dr Mahathir berubah nada. Katanya, PPBM tetap akan masuk Sabah kerana ada orang Umno yang enggan menyertai Warisan tapi mahu menyertai PPBM.

Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal terdiam sehingga kini.

Dua bulan lepas, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa bagi meneliti dan menapis permohonan keahlian daripada bekas pemimpin Umno yang ingin menyertai PPBM sejurus selepas 7 ahli Parlimen Umno keluar parti dan PPBM menerima permohonan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik untuk menyertai PPBM.

Jawatankuasa itu diwujudkan selepas parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) membuat bising terhadap penerimaan orang-orang Umno berkontroversi ke dalam PPBM, lalu menjadi sebahagian daripada PH.

Minggu lepas, tetiba semua ahli Parlimen Umno yang melompat diterima sekali gus memasuki PPBM. Tidak pasti sama ada Rahim juga diterima di dalam PPBM. Tapi sekiranya PPBM bimbang terhadap protes dalaman, Rahim boleh menjadi seperti Superman Hew yang tidak lagi menjadi ahli DAP tapi tetap menjadi pendokong utama parti sehingga dianugerahkan jawatan penting di dalam kerajaan.

Presiden parti PH yang pertama memberikan sokongan kepada penyertaan 7 bekas ahli Parlimen Umno ini ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Pimpinan tertinggi DAP seperti Lim Kit Siang masih terdiam. Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menyuarakan bahawa PKR tidak akan menerima ahli Parlimen Umno pula sekadar berkata penyertaan 7 bekas ahli Parlimen tidak akan menggagalkan agenda reformasi PH.

Di dalam penjelasannya, Dr Mahathir berkata apa yang penting ialah pendirian 7 bekas ahli Parlimen Umno itu sekarang kerana semua orang pernah melakukan kesalahan.

Pada masa yang sama, Dr Mahathir memberikan amaran kepada parti-parti PH iaitu PKR, DAP dan Amanah bahawa sekiranya mereka membelot dan tidak lagi setia kepada negara, beliau juga akan bertukar kepada parti lain.

“Kita boleh berubah, kita bukan tetap selamanya,” katanya.

Sudah sebulan lebih khabar angin bertiup kencang mengenai rombakan Kabinet termasuk ura-ura bahawa Datuk Seri Azmin Ali akan dilantik menjadi timbalan perdana menteri. Namun begitu, Dr Mahathir telah menafikannya pada 6 Februari yang lalu.

Jika mengikut trend penafian Dr Mahathir, ini bermakna rombakan Kabinet sudah pasti berlaku di dalam kira-kira 2 bulan akan datang.

Buat sementara waktu, Dr Mahathir mengejutkan semua pihak dengan mewujudkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang boleh dilihat sebagai Kabinet di dalam Kabinet. Mengapa tindakan ini diambil sedangkan beliau sentiasa berkata beliau berpuas hati terhadap prestasi Kabinetnya?

Anwar, insan yang dijanjikan akan diserah jawatan PMnya secara terbuka berkali-kali selepas bersara tetap tidak dipilih menganggotai EAC ini. Bukan itu sahaja, isteri bakal PM yang juga timbalan perdana menteri juga tidak dipilih dan tiada juga seorang pun pimpinan tertinggi Amanah yang dilantik ke EAC.

Hanya 4 ahli Kabinet yang dipilih menganggotai EAC, itu Azmin, (menteri hal ehwal ekonomi) Lim Guan Eng (menteri kewangan), Darrell Leiking (menteri perdagangan antarabangsa dan industri) dan Baru Bian (menteri kerja raya).

Walaupun Azmin tidak dilantik sebagai TPM lagi di Kabinet Dr Mahathir yang asal, nampaknya beliau sudah dilantik menjadi timbalan de-facto kepada Dr Mahathir di dalam Kabinet di dalam Kabinet ini.

Apakah di sini tempat beliau memulakan latihannya menjadi sebagai seorang timbalan perdana menteri kepada Dr Mahathir?

Setakat ini Anwar, Wan Azizah, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan seluruh kepimpinan tertinggi Amanah masih terdiam meskipun ramai menggaru kepada apabila melihat bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Tan Sri Rafidah Aziz juga terpilih menganggotai EAC.

Aksi politik Dr Mahathir minggu lepas menunjukkan bahawa pergerakan politik perdana menteri ke-7 ini jauh lebih berbisa daripada perdana menteri ke-4. Kini, pergerakannya susah dihidu. Banyak lawannya termasuk yang masuk penjara di zamannya menjadi PM ke-4 kini duduk di bawah ketiaknya, dan banyak kawannya dan anak buahnya dulu menjadi musuhnya terkini.

Namun, hubungannya dengan PAS tetap tidak berubah, barangkali kerana kedua-duanya masih gagal menawan sesama sendiri selama ini kerana dapat saling menghidu pergerakan masing-masing.

Contoh terbaru dapat dilihat melalui kontroversi yang tercetus susulan perjumpaan Dr Mahathir dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehari sebelum hari penamaan calon PRK DUN Semenyih yang masih hangat dibincangkan semasa artikel ini ditulis.

Apakah PH akan bergolak selepas minggu kena ‘game’ oleh Dr Mahathir? Apakah amaran Dr Mahathir kepada DAP, PKR dan Amanah bersifat serius atau main-main?

Atau apakah sebenarnya ini semua berkait dengan nasib Anwar untuk menjadi PM kerana kebetulan Dr Mahathir menggerakkan percaturan politiknya, Anwar juga memainkan semula isu janji Dr Mahathir menyerahkan kuasa PM kepadanya di dalam masa kurang 2 tahun?

Nampaknya negara terus sibuk berpolitik, dan barangkali itulah kegunaan EAC yang ditubuhkan Dr Mahathir; untuk memastikan negara terus ditadbir belakang tabir ketika beliau melakukan apa yang dikehendaki di dalam politik sebelum bersara.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");