Berita Hari Ini

Polis Pantau Sekolah Secara Berkala

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan meletak sasaran pihak polis atau pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengunjungi dan memantau aktiviti persekolahan sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata pihaknya meletak sasaran itu bagi sesi Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan PDRM bagi program Jom Kembali Ke Sekolah.

Beliau berkata, program berterusan itu secara tidak langsung dapat menangani masalah disiplin murid dan mengurangkan kadar keciciran.

“Pihak polis atau pegawai perhubungan awam daripada PDRM tidak semestinya hadir ketika perhimpunan saja, tetapi juga pada mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau bertemu dengan murid dan guru besar secara dekat.

“Pegawai yang ditugaskan boleh bermesyuarat dengan guru di sekolah bagi membincangkan pelbagai format untuk menangani masalah disiplin.

“Kita yakin kehadiran pegawai polis di sekolah mampu membantu atau mengatasi kes jenayah membabitkan murid,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan PDRM di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1) di sini, hari ini.

Nie Ching berkata, program memasuki tahun ketiga itu berjaya membantu pihak sekolah untuk menangani masalah disiplin.

Bagi memastikan program berkenaan dapat diteruskan, katanya, kementerian merancang menempatkan papan kenyataan khas untuk pihak polis berkongsi maklumat penting.

“Ia bukan saja dapat memberi maklumat kepada murid, tetapi juga pengetahuan kepada ibu bapa yang berkunjung ke sekolah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");