Perak Hari Ini

Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Di Lost World Of Tambun

KAMPAR: Kerajaan Perak bakal mengadakan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri pada 19 Februari ini, di Taman Tema Lost World Of Tambun.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, majlis akan bermula pada jam 2 petang sehingga 5 petang dan kemasukan ke taman tema tersebut adalah percuma.

Katanya, semasa majlis tersebut berlangsung, orang ramai akan dihidangkan dengan jamuan percuma selain akan diadakan sesi pemberian ‘ang pow’.

“Kita akan sambut perayaan Tahun Baru Cina di sana dengan semua bangsa.

“Ini kerana perayaan ini adalah perayaan yang disambut semua masyarakat di Malaysia. Marilah kita sama-sama raikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar di Dewan SJK(C) Mambang Diawan, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Exco Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Yong Choo Kiong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng; ADUN Keranji, Chong Zhemin serta ADUN Buntong, A Sivasubramaniam.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal sekali lagi menegaskan bahawa, Pakatan Harapan (PH) Perak komited untuk menunaikan semua manifesto Pilihanraya Umum Ke-14 dalam penggal ini.

Beliau yang juga Pengerusi PH negeri berkata, pada masa kini, pimpinan kerajaan negeri sedang berusaha gigih bagi memastikan lebih ramai pelabur dapat masuk ke Perak.

Jelasnya, dengan usaha tersebut ia mampu memberi limpahan ekonomi kepada negeri dan pada masa sama, dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Pada masa-masa akan datang, lebih banyak lagi kita sedang rancang. Ia termasuk melibatkan sektor pembangunan terhadap pendidikan anak-anak kita.

“Apabila mereka dapat kelulusan, kita akan pastikan mereka tidak perlu ke luar negeri atau negara untuk mencari pekerjaan sebaliknya, mereka hanya boleh menetap dan bekerja di Perak sahaja,” katanya.

Walau bagaimanapun, ujar Ahmad Faizal, dalam usaha tersebut, semua rakyat di seru untuk turut bersama-sama kerajaan dan bekerja dengan lebih kuat, bagi membangunkan semula negeri.

Katanya, walaupun kerajaan negeri telah menyediakan beberapa inisiatif namun, ianya tidak akan dapat berjaya dilaksanakan sekiranya ia disia-siakan rakyat.

Pada masa sama, beliau turut berharap agar masyarakat dapat terus memberi sokongan kepada semua wakil rakyat PH yang sentiasa berkhidmat kepada mereka.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");