Berita Hari Ini

Surat Sokongan Tidak Lagi Dikeluarkan – Saifuddin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan mengeluarkan sebarang surat sokongan daripada menteri atau timbalannya kepada individu yang berhasrat untuk mendapatkan kepentingan.

Memetik laporan BH Online, menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau dan timbalannya, Chong Chien Jen tidak mengamalkan memberi surat sokongan sejak hari pertama mereka dilantik di kementerian berkenaan.

Katanya, tidak ada secebis ayat atau arahan bertulis yang diterima pada hari pertama mereka memasuki pejabat untuk berbuat demikian (mengeluarkan surat sokongan).

“Kami akan kekalkan dengan amalan ini (tidak memberi surat sokongan) kerana saya fikir untuk melaksanakan pelan anti rasuah, ia perlulah bermula daripada pucuk kepemimpinan dan semua pihak. Kedua-dua ini perlu memainkan peranan.

“Justeru, sesiapa yang berhajat untuk mendapatkan surat sokongan untuk sebarang kepentingan, mereka tidak akan dapat kerana kami tidak mengamalkan perkara itu dalam kementerian ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPDNHEP serta Taklimat ringkas Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP), di sini, pada Isnin.

Sementara itu, mengenai Pelan Anti Rasuah Nasional, Saifuddin meletakkan sasaran mahu menjadikan KPDNHEP sebagai organisasi yang terawal untuk melaksanakan pelan berkenaan.

“Saya anggap pelan ini sebagai satu dokumen penting untuk memberi gambaran bahawa kerajaan baharu yang memimpin negara ini sebagai negara yang bebas amalan rasuah.

“Di peringkat ini, kita ada bahan yang cukup untuk melaksanakan perkara ini. Pelan yang dihasilkan Pusat Governans, Intergriti dan Anti Rasuah (GIACC) itu sudah cukup komprehensif. Jadi tidak perlu kementerian ini menggunakan khidmat orang luar.

“Cabaran sekarang adalah untuk menyesuaikan fungsi atau teras utama kementerian ini dengan pelan berkenaan,” katanya.

NACP 2019-2023 secara rasminya dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 29 Januari lalu. NACP dibangunkan bagi menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan ia diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada 8 Jun lalu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Pelan itu dilancarkan sejajar dengan usaha merealisasikan manifesto kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

Ia dibangunkan berdasarkan 22 strategi yang akan diberi keutamaan bagi enam sektor utama di mana mengandungi 115 inisiatif anti rasuah merangkumi enam sektor iaitu politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

Bertemakan ‘Memecah Rantaian Rasuah’, NACP adalah pelan yang dibangunkan khusus untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");