Jenayah

SUV Terhumban Laut: Bekas Pekerja Salun Mengaku Tak Bersalah

BUKIT MERTAJAM: Seorang pekerja salun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dakwaan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan sebuah jenis utiliti sukan (SUV) terhumban dalam laut pada 20 Januari lalu.

Meemtik laporan BH Online, tertuduh, M K Vaitheswaran, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil, dihadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Mengikut pertuduhan, Vaitheswaran didakwa memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian Moey Yun Peng, 20, di Kilometer (KM) 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai, jam 3 pagi pada 20 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, Vaitheswaran didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda sehingga RM20,000, dan hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Peguam S Parameswaran memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum RM5,000 berikutan tertuduh memberikan kerjasama yang baik kepada polis sepanjang proses siasatan.

“Tertuduh juga sudah tidak bekerja selepas kejadian berkenaan, malah keluarganya juga bukan daripada keluarga yang senang,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amir Abdul Karim bagaimanapun mahu mahkamah memberi jaminan RM10,000 berikutan kes berkenaan adalah serius dan mendapat perhatian masyarakat.

Jamaliah kemudiannya membenarkan Vaitheswaran diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, lesen memandu digantung sehingga kes selesai, selain perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 18 Mac hadapan.

Dalam kejadian 20 Januari lalu, SUV dipandu Yun Peng, yang juga seorang penuntut kolej swasta, terhumban ke laut selepas kenderaannya bergesel dengan kereta jenis Toyota Vios dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.

Mayat Yun Peng yang terperangkap dalam kenderaannya hanya dapat dikeluarkan pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat, jam 6.07 petang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");