Berita Hari Ini

Cadangan Laksana Semula Larangan Perjalanan PTPTN Langkah Ke Belakang, Kata Pemuda PPBM

PETALING JAYA: Pemuda PPBM menolak hasrat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahu meneliti cadangan supaya dilaksanakan semula senarai hitam peminjam yang gagal membayar balik pinjaman tabung itu untuk keluar negara.

Exco pendidikanya, Ashraf Mustaqim menyifatkan langkah mengembalikan pendekatan zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) itu sebagai langkah ke belakang.

“Kami menyambut baik inisiatif semasa PTPTN di bawah semangat Malaysia Baru yang mahu membebaskan peminjam yang disenarai hitam untuk ke luar negara, tetapi pengumuman atas hasrat itu adalah suatu langkah ke belakang,

“Ia ‘buruk siku’ dan tidak progresif,” katanya.

“Kami benar-benar berharap PTPTN melupakan hasrat itu kerana penyenaraian hitam akan menyulitkan lagi dan membantutkan perkembangan mana-mana graduan dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan mereka bagi memastikan hutang PTPTN mampu dibayar.”

Beliau berkata, PTPTN sepatutnya memberi fokus kepada usaha menyelesaikan isu model perniagaan PTPTN yang tidak stabil, bukannya mencari jalan mudah dan singkat dengan kembali membebankan graduan.

“Kami bersetuju setiap peminjam yang berhutang perlu menyelesaikan hutang mereka, namun kempen ke arah penyelesaian hutang ini seharusnya memudahkan, bukannya membebankan.

“Rata-rata peminjam mahu menyelesaikan hutang mereka. Justeru PTPTN perlu mencari pendekatan lain tanpa membebankan lagi kos sara hidup semasa yang tinggi,”katanya.

Beliau berharap langkah PTPTN akan selari dengan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan peminjam yang mencapai gaji bulanan RM4,000 diwajibkan membayar hutang mereka dengan konsisten.

Sebelum ini PTPTN dilaporkan tidak menolak kemungkinan akan melaksanakan semula dasar menyenarai hitam peminjam yang gagal membayar hutang untuk ke luar negara.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan pihaknya tidak merancang untuk melaksanakan semula larangan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.

Sebaliknya kata beliau, PTPTN kini sedang mengumpul maklum balas daripada pihak berkepentingan berhubung isu tunggakan pinjaman dan mekanisme pembayaran balik.

Katanya, senarai hitam perjalanan ke luar negara bukan sebahagian daripada perancangan PTPTN, tetapi merupakan antara idea yang dikemukakan oleh akar umbi kepada tabung tersebut.

“Ada juga idea supaya dikuatkan penguatkuasaan, termasuk memperkenalkan semula larangan perjalanan, tetapi ada yang berfikir ia sepatutnya dihapuskan,” katanya, sambil menambah bahawa PTPTN tidak mahu amalan senarai hitam perjalanan itu diperkenalkan semula,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");