Berita Hari Ini

Dr M akan bertemu Duterte dalam lawatan ke Filipina

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan bertemu Presiden Rodrigo Duterte bersempena lawatan rasmi dua harinya ke Filipina bermula esok (Rabu).

Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini berkata lawatan bertemakan ‘Partners for Progress, Brothers for Peace‘ itu merupakan sebahagian daripada siri lawatan pengenalan Dr Mahathir ke negara-negara Asia Tenggara selepas memulakan tugas sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei 2018.

Wisma Putra berkata lawatan itu akan membuka peluang untuk kedua-dua pemimpin memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Filipina.

“Lawatan ini juga membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar-dasar terkini kerajaan dan pendirian negara khususnya berkaitan isu-isu yang mempunyai manfaat bersama.

“Di samping itu, kedua-dua pemimpin akan turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” katanya.

Proses damai Mindanao

Wisma Putra berkata lawatan itu akan menambah momentum kepada proses pungutan suara bagi Undang-undang Organik Bangsamoro yang telah diadakan pada 12 Januari dan 6 Februari 2019 bagi mendapatkan persetujuan penduduk tempatan.

“Malaysia komited kepada proses damai Mindanao dan berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan sebagai fasilitator dalam proses damai untuk memastikan kestabilan dapat dicapai di Filipina dan rantau ini,” kata Wisma Putra.

Filipina merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di kalangan negara anggota ASEAN dan rakan dagang ke-15 terbesar di dunia.

Jumlah perdagangan dua hala Malaysia dan Filipina yang direkodkan pada 2018 adalah sebanyak US$6.45 bilion menyaksikan pertumbuhan sebanyak 8.8 peratus berbanding US$5.93 bilion pada tahun 2017, jelas kenyataan itu.

 Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");