Perak Hari Ini

Festival Makanan Ipoh Bakal Rancakkan Industri Berasakan Makanan Perak

IPOH: Bagi merancakkan lagi industri berasaskan makanan di Perak, kerajaan negeri bakal mengadakan Festival Makanan Ipoh pada 27 April nanti.

Bertempat di Kinta River Walk, ia akan menjadi salah satu platform buat pengusaha produk makanan tempatan serta usahawan belia bagi mengembangkan lagi perusahaan mereka.

Jurucakap program tersebut berkata, pada sebelah pagi antara acara yang menanti pengunjung ialah program jualan bahan makanan mentah seperti sayur dan ikan.

Katanya, kesemua bahan makanan tersebut adalah yang diusahakan daripada seluruh daerah di negeri ini.

“Selain program jualan, kita juga berkemungkinan akan mengadakan beberapa siri bengkel. Namun ia akan diumumkan kelak secara lebih lanjut.

“Pada sebelah malam pula, kita akan mengadakan acara Bazar Makanan Dan Kopi yang mana ia tidak seperti bazar makanan lain yang menjual pelbagai makanan daripada luar Perak.

“Sebaliknya kesemua produk makanan yang dijual dan dipamerkan adalah berasal dari negeri ini,” katanya.

Jelasnya, penganjuran acara tersebut adalah kerjasama yang melibatkan tiga pejabat Exco kerajaan negeri iaitu, Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing; Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing serta Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How.

Tambahnya lagi, walaupun Festival Makanan Ipoh berlangsung selama sehari namun, menjelang pada acara tersebut, kerajaan negeri bakal mengadakan beberapa siri program mini yang akan diumumkan kelak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis ‘Masak-Masak YB Howard Lee’, yang menjadi sebahagian daripada gimik pelancaran Festival Makanan Ipoh di Dong Cafe Ipoh, di sini, hari ini.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri, Pengasas Galeri Warisan 22 Hale Street, Puan Sri Datuk Sandra Lee; serta Ketua Pegawai Eksekutif Movie Animation Park Studios (MAPS), Shafeii Abdul Gaffor.

Pada majlis tersebut itu tadi, Howard telah menyajikan menu ikan senangin masak tempoyak istimewa kepada tetamu yang hadir.

“Ikan senangin itu datang daripada Pantai Remis. Ia dicampurkan dengan udang kering yang datang daripada Pulau Pangkor, kacang putih daripada Buntong, limau bali daripada Tambun dan akhir sekali sambal tempoyak yang menjadi salah satu menu ikon di Perak.

“Kesemua bahan makanan ini daripada Perak yang mana kita mahu ketengahkan kepada umum tentang keunikan makanan dan bahan-bahan mentah yang boleh diperoleh di negeri ini.

“Selain itu dengan penganjuran program ini nanti, ia akan dapat membantu meningkatkan keberhasilan perusahaan produk makanan tempatan Anak Perak,” katanya ketika berucap pada majlis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");