Berita Hari Ini

Kerajaan Digesa Tubuh Jawatankuasa Selamatkan MAS

Kerajaan disaran menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai pakar bagi menyumbang idea dan kepakaran untuk menyelamatkan syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines Berhad (MAS).

Aktivis sosial Lee Lam Thye berkata ini kerana MAS merupakan instrumen penting dasar, penggerak ekonomi utama dan aset strategik yang tidak harus diketepikan.

“Daripada mendapatkan khidmat pakar asing yang mungkin tidak tahu situasi sebenar, kita seharusnya mengambil pakar tempatan selain mendapatkan maklum balas warga kerja Malaysia Airlines, persatuan mereka dan penumpang tentang penambahbaikan seterusnya syarikat penerbangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata negara juga tidak ketandusan pakar dan pemimpin industri yang telah membuktikan keupayaan mereka dalam memulihkan syarikat besar untuk kembali mencatat keuntungan selain pakar ekonomi dan perniagaan terkemuka yang pandangannya ditagih oleh institusi antarabangsa.

Beliau juga percaya syarikat penerbangan itu akan terus mencatatkan keputusan yang baik sekiranya pasukan pengurusan syarikat menerima sokongan penuh semua pihak, selepas syarikat itu mengumumkan kerugian yang lebih rendah tahun lepas.

“Kita juga harus menghargai sumbangan semua warga kerja MAS kerana mereka sering kali menerima anugerah atas perkhidmatan yang cemerlang. Malaysia Airlines bukan sahaja menerbangkan penumpang ke destinasi mereka tetapi juga mempromosikan negara kita yang berbilang bangsa dan kepelbagaian di luar negara,” katanya.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata ada pihak di dalam dan di luar negara berminat untuk membeli MAS bagaimanapun kerajaan masih mahu meneliti perkara tersebut sebelum membuat keputusan menjual syarikat penerbangan berkenaan.

Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");