Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Rancang Wujudkan Arena E-Sukan – Howard

IPOH: Dalam usaha menjadikan Perak sebagai hab pembangunan sukan elektronik (e-sukan) bertaraf antarabangsa, kerajaan negeri sedang merancang untuk mewujudkan sebuah kompleks arena e-sukan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi mengenal pasti tapak ataupun lokasi yang sesuai untuk projek tersebut.

“Segala kekangan yang ada dari segi infrastruktur di negeri ini tidak boleh diselesaikan dalam jangka masa sebulan. Namun kita memang sedang berusaha ke arah itu.

“Dari segi stadium, sebenarnya ia juga dalam perancangan. Saya telah umumkan sebelum ini yang mana kerajaan Perak telah mengadakan perbincangan dengan PKPN.

“Ia bagi mengenal pasti tanah-tanah yang ada atau tanah yang belum diteroka untuk kita jadikan ia tapak khusus untuk arena e-sukan atau stadium e-sukan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Persidangan Industri Profesional E-Sukan (EPIC) 2019 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu ujar Howard, inisiatif penganjuran acara tersebut juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam menarik minat para pelabur untuk melabur ke negeri ini dalam industri e-sukan.

Pada majlis sama, beliau turut mengumunkan pemain Dota 2, Yeik Nai Zheng atau dikenali MidOne sebagai Ikon E-Sukan Perak 2019.

Anak jati Bagan Serai yang bermain di Eropah bersama Team Secret itu pernah beberapa kali berjaya menjulang gelaran juara dalam pelbagai pertandingan e-sukan dalam dan luar negara.

Kata Howard, kerajaan negeri akan mendapatkan khidmat dan pandangan MidOne dalam usaha memajukan lagi perkembangan e-sukan di Perak.

Sementara itu, Howard tidak menolak kemungkinan penganjuran EPIC 2019 akan diperkembangkan lagi dan menjadi acara tahunan pada masa akan datang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");