Berita Hari Ini

New Zealand Tafakur Azan Jumaat Berkumandang

Suasana tenang dan pilu menyelubungi Hagley Park di Christchurch ketika penduduk New Zealand membanjiri kawasan tersebut kira-kira jam 1.30 petang (8.30 pagi waktu Malaysia) tadi untuk hadir bertafakur selama dua minit, selepas azan solat Jumaat berkumandang.

Mereka yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama itu berada di sana sebagai tanda solidariti bersama umat Islam di negara itu susulan daripada insiden serangan pengganas di dua masjid di Christchurch.

Rata-rata wanita yang hadir dilihat mengenakan pakaian yang sopan serta menutup kepala dengan selendang.

Stesen televisyen dan radio nasional New Zealand turut mengumandangkan azan sembahyang Jumaat hari ini.

Tidak ketinggalan, salah satu akhbar di negara itu, The Press turut menyiarkan nama-nama mangsa yang terlibat dalam insiden berharap itu di muka hadapannya.

Sementara itu, khutbah yang disampaikan oleh Imam di Masjid Al Noor, Gamal Fouda di Hagley Park hari ini menyentuh tentang insiden yang mengorbankan 50 nyawa ketika waktu sembahyang Jumaat minggu lalu.

Beliau yang merupakan salah seorang mangsa yang terselamat daripada serangan itu berterima kasih kepada penduduk New Zealand dan Perdana Menteri Jacinda Arden kerana menunjukkan bahawa penduduk Islam di situ tidak dilupakan dan merupakan sebahagian daripada mereka.

“Kepada penduduk di New Zealand, terima kasih. Terima kasih atas air mata anda, terima kasih atas laungan haka anda, terima kasih atas bunga yang diberikan, terima kasih atas rasa kasih sayang dan belas kasihan yang ditunjukkan.

“Kepada perdana menteri kita, terima kasih. Terima kasih atas kepimpinan anda, ia telah menjadi panduan kepada pemimpin dunia di luar sana.

“Terima kasih kepada pasukan polis yang mendahulukan nyawa mereka setiap hari.

“Terima kasih juga kepada jiran tetangga kami yang membuka pintu untuk menyelamatkan nyawa kami daripada pembunuh tersebut,

“Terima kasih kepada pemandu yang memberhentikan kereta mereka untuk membantu kami ketika itu,” katanya sambil disambut dengan tepukan daripada mereka yang hadir di situ.

Suspek utama tembakan rambang Brenton Harrison Tarrant, warganegara Australia yang berusia 28 tahun itu telah didakwa sehari selepas serangan dilakukan.

Majoriti mangsa serangan merupakan pendatang atau pelarian dari Pakistan, India, Malaysia, Indonesia, Turki, Somalia, Afghanistan dan Bangladesh.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");