Perak Hari Ini

Pulih Semula Lereng Bukit Kledang: NGO Cadang Kerajaan Negeri Libatkan Masyarakat

IPOH: Sahabat Alam Malaysia (SAM) berharap agar kerajaan negeri dapat melibatkan masyarakat khususnya komuniti setempat dalam usaha memulihara semula kawasan lereng Bukit Kledang yang terjejas akibat diteroka secara haram sebelum ini.

Penyelidik lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, langkah tersebut mampu menjimatkan kos kerajaan negeri dalam menjayakan usaha tersebut.

Katanya, SAM dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain sedia untuk menyumbangkan tenaga bagi usaha menanam semula pokok selepas kerja-kerja penstabilan semula tanah di situ selesai.

“Daripada kerajaan negeri mengeluarkan tender tanam semula pokok kepada pihak syarikat, lebih baik diadakan satu program penanaman semula pokok yang disertai masyarakat dan pemimpin kerajaan negeri.

“Selain menjimatkan kos penanaman pokok, ia juga secara tidak langsung akan merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat,” katanya.

Tambahnya, cadangan tersebut juga mampu mendidik masyarakat dalam menyumbangkan sesuatu kepada negeri.

Jelasnya, apabila adanya sikap prihatin dan tanggungjawab pada diri setiap masyarakat, kejadian seumpama itu tidak akan berulang sekali lagi.

“Masyarakat yang hanya tahu mengadu, tetapi tidak ada sebarang sumbangan, ia juga tiada makna. Sikap prihatin itu bagus tetapi apakah sumbangan mereka?

“Sumbangan mereka ialah supaya kita semua bersama-sama pihak kerajaan, dapat turun bantu pulihkan kawasan ini. Kos pokok disediakan kerajaan negeri, kita dan NGO bantu beri sumbangan berbentuk tenaga,” katanya.

Selain itu, Meor Razak turut mencadangkan agar kawasan yang sedang dipulihara itu dapat ditanam semula pokok hutan yang sesuai seperti pokok meranti, pokok keruing dan sebagainya.

Mengulas lanjut tentang cadangannya itu, beliau berharap agar program seumpama itu dapat diadakan secara berkala dan disertai kepimpinan kerajaan negeri serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program lawatan ke kawasan lereng Bukit Kledang, di sini, hari ini.

Selain SAM, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) dan komuniti setempat, ia turut disertai pegawai-pegawai daripada Pejabat Menteri Besar Perak dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).

Ketika ditanya tentang lawatan tersebut, Meor Razak berkata ia masih terlalu awal untuk diulas kerana kerja-kerja penstrukturan tanah masih berjalan.

Namun, beliau berpuas hati kerana kerajaan negeri menunjukkan usaha dan komitmen mereka dalam memulihara semula kawasan yang terjejas akibat diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Meor Razak juga berharap apabila kawasan tersebut sudah kembali hijau, kerajaan negeri akan mewartakan kawasan itu sebahagian daripada kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");