Berita Hari Ini

4 Laporan Viral Palsu Kehilangan Acap

KAMPAR: Polis menerima empat laporan berhubung berita palsu membabitkan kehilangan peserta Gopeng Urban Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, sejak 23 Mac lalu.

Menurut Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, sehingga kini pihaknya menerima empat laporan polis berkaitan kenyataan palsu mengenai kehilangan Mohammad Ashraf.

Menurutnya, laporan pertama diterima daripada seorang lelaki, 38, pada 4.25 petang 4 April lalu mendakwa melihat satu tangkap layar status Facebook (FB) dalam aplikasi kumpulan WhatsApp pada 9 pagi hari berkenaan.

“Seorang tidak dikenali menggunakan nama Putra Al-Mukmin menyatakan di dalam statusnya Acap sudah selamat dijumpai. Tahniah pada semua yang membantu.. #TEAMCOBRA.

“Status yang dimuat naik itu adalah tidak benar dan pengadu merasa terkilan dengan status dimuat naik di dalam akaun FB berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, laporan kedua dibuat salah seorang anggota penyelamat berusia 38 tahun pada 8 April lalu.

“Semasa pengadu sedang bertugas di Kampung Pintu Padang, Gopeng, di sini jam 12.15 tengah malam hari berkenaan dia mendakwa menerima satu pesanan ringkas WhatsApp menyatakan ada satu laman FB menyatakan Ashraf (Acap) sudah dijumpai oleh pasukan bomba, polis, ustaz dan tentera.

“Status FB itu turut mendakwa malangnya selepas dijumpai beliau (Acap) tidak mahu balik walaupun di pujuk kerana sudah berkahwin dengan jin dan pengadu membuat laporan kerana menafikan kenyataan viral itu kerana tidak benar,” katanya.

Menurutnya, laporan ketiga pula dibuat lelaki berusia 62 tahun pada 10 April (semalam) berhubung satu rakaman suara di laman FB yang didakwa suara itu milik warga emas terbabit.

“Lelaki berkenaan menafikan rakaman suara yang tular itu adalah miliknya dan membuat laporan polis 3 petang semalam.

“Laporan keempat pula dibuat lelaki berusia 32 tahun menafikan tuduhan satu pemilik FB yang mengatakan pihak Penganjur GUT 2019 bersikap lepas tangan dalam pencarian Orang Hilang di Gopeng,” katanya.

Hasron Nazri, berkata bagi laporan pertama hingga ketiga diarah untuk merujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut manakala laporan keempat diklasifikan sebagai tiada kesalahan jenayah.

“Polis akan menjalankan siasatan berlandaskan fakta dan bukti serta mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat atau berita berdasarkan persepsi sendiri melalui media sosial tetapi sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");