Perak Hari Ini

Ada Terima Cadangan Jadikan Kawasan Hutan Di Segari Sebagai Taman Negeri Kelima – Exco

IPOH: Kerajaan negeri pernah menerima cadangan menjadikan kawasan Hutan Simpan Segari Melintang sebagai taman negeri yang kelima.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata satu mesyuarat bagi mengkaji cadangan tersebut telah pun dijalankan pada tahun lalu.

Jelasnya ia dihadiri pegawai-pegawai daripada Majlis Perbandaran Manjung dan wakil pejabat beliau.

Namun katanya, ianya masih di peringkat cadangan dan sebarang keputusan belum ditetapkan.

Walau bagaimanapun ujarnya, kerajaan negeri amat serius dalam memelihara kawasan alam semula jadi khususnya di kawasan Segari, dekat Manjung.

“Memang benar ada cadangan untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan perindustrian gas asli namun kerajaan negeri telah menolaknya kerana kita tidak mengizinkan sebarang aktiviti industri berat berjalan di situ.

“Kita sedia maklum kawasan tersebut merupakan kawasan habitat yang sangat sensitif. Di situ adanya kawasan pendaratan haiwan penyu, banyak ekosistem dan hidupan serta flora dan fauna.

“Ada yang mendakwa kerajaan negeri akan melepaskan kawasan hutan di Segari untuk aktiviti industri. Itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Tambahnya beliau menyeru semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) agar dapat menyalurkan maklumat berhubung isu alam sekitar kepada kerajaan negeri.

Jelasnya, kerajaan negeri juga bersedia untuk mengadakan perbincangan dan pertemuan dengan mereka.

Semalam Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara kawasan habitat dan pendaratan penyu di Segari.

Dalam pada itu kata Kar Hing kerajaan negeri menerusi Belanjawan Negeri 2019 telah memperuntukkan RM1 Juta bagi menaiktaraf infrastruktur Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Pasir Panjang, Segari.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1 juta untuk infrastruktur di kawasan tersebut dan Wong May Ing selaku ADUN Pantai Remis akan memantau dan merangka segala pembangunan di kawasan itu.

“Ia supaya kawasan tersebut akan lebih mudah di akses oleh orang ramai,” ujarnya.

Beliau terdahulu ditemui pada Program Bersama Agensi Kerajaan DUN Simpang Pulai yang dianjurkan bersama Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI) Perak di Dewan Orang Ramai Desa Perwira dekat Rapat Setia, di sini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");