Berita Hari Ini

Pelantikan MB: Sultan Johor Ucap Tahniah Kepada Dr Sahruddin

JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengucapkan tahniah kepada Dr Sahruddin Jamal atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Ibrahim, baginda berharap Dr Sahruddin akan dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah, serta mengutamakan kepentingan negeri berbanding kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi negeri Johor.

“Saya juga mahukan beliau (Dr Sahruddin) memberi keutamaan kepada isu pencemaran sungai bagi memastikan sumber air mentah sentiasa bersih dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang,” titah Sultan Ibrahim menerusi kenyataan, yang dimuat naik dalam laman berkenaan, hari ini, lapor Bernama.

Sultan Ibrahim dalam pada itu turut menasihati pihak kerajaan supaya jangan membuang masa dengan banyak bercakap tentang perkara yang tidak berfaedah, menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.

Baginda bertitah, sebaliknya, kerajaan hendaklah menumpukan perhatian membantu kehidupan rakyat yang susah dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

“Sesungguhnya Kerajaan Johor telah lama wujud dan mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri. Tidak perlu ada pihak luar yang sibuk melompat-lompat tidak tentu arah, bercerita tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir negeri Johor.

“Kedaulatan Negeri Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu-gugat oleh pihak luar yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia,” titah baginda dengan berharap semoga Johor terus maju, makmur dan diberkati.

Terdahulu, Dr Sahruddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, pada 9.30 pagi, hari ini.

Dr Sahruddin dilantik Menteri Besar Johor ke-17 susulan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian, 8 April lepas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");