Jelas Sufian, 27, penggunaan helikopter dibuat pada saat akhir ekoran mendapat tajaan daripada sebuah syarikat pengendali penerbangan persendirian kepadanya.

Dalam klip video yang dilancarkan pada 3 April tersebut, terdapat beberapa babak melibatkan Sufian bersama seorang wanita menaiki helikopter sehingga mengundang andaian peminat bahawa babak tersebut ada kaitan dengan kisah cinta tidak kesampaiannya.

“Penceritaan dalam lagu itu bersifat umum, cuma ada satu sahaja babak melibatkan helikopter sehingga membuatkan orang mempertikaikan saya belum melupakan kisah lama.

“Walhal ia bukan dalam perancangan awal kami. Jika tiada babak helikopter itu, jalan cerita dalam klip video Mencuba hanya berkisar tentang perkara-perkara yang biasa dilakukan oleh pasangan kekasih.

“Masing-masing ada persepsi berbeza untuk ditafsirkan. Cuma bagi saya, ia tidak bermaksud saya masih dibayangi kisah lampau. Saya anggap babak itu sebagai nilai tambah dan perkara menarik untuk ditonton,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Trio Concert Tour 2019.

Konsert itu menampilkan Sufian akan bergabung dengan Wany Hasrita dan Khai Bahar dalam satu konsert sama di empat lokasi berbeza iaitu Johor Bahru, Johor (13 Julai), Kuantan, Pahang (17 Ogos), Alor Setar, Kedah (5 Oktober) dab Shah Alam, Selangor (2 November).

Sementara itu, tambah pelantun lagi Di Matamu itu lagi, dia mengakui berasa bimbang dengan babak tersebut kerana risau ia akan menimbulkan kontroversi atau menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Sejujurnya saya akui risau tetapi saya dan produksi perhalusi jalan cerita. Hasilnya tiada perkara yang negatif pun dalam klip video itu. Pengakhiran jalan cerita juga bahagia.

“Cuma bagi saya babak helikopter itu adalah elemen perbezaan yang cuba diketengahkan kerana ia bukan dapat dilihat setiap hari,” katanya.

Lagu yang merupakan ciptaan sepenuhnya daripada Sufian dan Zynakal itu setakat ini telah mencatat lebih 1.2 juta tontonan di YouTube lapor Kosmo Online.