Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, bas tersebut sepatutnya menghala ke arah MASkargo untuk menurunkan penumpang namun ia menggunakan laluan lain.

“Siasatan awal mendapati, pemandu bas berusia 43 tahun tersebut sepatutnya mengambil laluan pukul 3 di Bulatan Minyak namun dia menggunakan laluan pukul 12 ke arah tempat simpanan kapal terbang.

“Saya difahamkan, MASkargo hanya terletak kira-kira 200 meter dari bulatan terbabit dan perkara ini menjadi tanda tanya pihak berkuasa,” katanya ketika sidang akhbar di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, berdasarkan maklumat awal, pemandu bas terbabit telah mengambil 44 pekerja di sebuah hostel di Nilai, Negeri Sembilan untuk dihantar ke tempat kerja mereka di MASkargo KLIA untuk bertugas pada 12 tengah malam.

“Kemalangan ini merupakan kejadian pertama di lokasi terbabit dan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Kita juga telah berhubung dengan pihak kedutaan mangsa yang terkorban untuk proses dokumentasi bagi tindakan lanjut, manakala keterangan mangsa lain yang terselamat akan direkod pada petang ini,” ujarnya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 malam tadi, seramai 11 individu termasuk tiga wanita yang mana seorang pemandunya yang juga warga tempatan disahkan meninggal dunia.

Setakat pukul 12.15 tengah hari ini, tujuh lagi dilaporkan kritikal iaitu lima di Hospital Serdang dan dua lagi masing-masing di Hospital Putrajaya dan Hospital Banting lapor Kosmo Online.