Sukan Hari Ini

‘Berserah Kepada Tuhan…’

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei menyerahkan masa depan kerjayanya kepada Tuhan bagi menentukan sama dia masih boleh kembali beraksi dalam kejohanan atau sebaliknya.

Menurut BH Online, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, berkata mentornya itu ada berkongsi cerita dan memaklumkan dia akan menerima semua ketentuan Tuhan berhubung masa depan kerjayanya.

“Kami memang nampak dia bekerja keras untuk mendapat kembali prestasinya. Namun, dia juga beritahu yang semuanya kini terletak di tangan Tuhan.

“Bagi saya, memang kesihatan dan tubuh badan adalah lebih penting. Dia tidak perlu untuk memberi tekanan kerana apa pun (yang berlalu) dia adalah legenda badminton negara.

“Namun, jika dia boleh kembali bermain, ia sudah pasti sesuatu yang positif. Saya berdoa dia diberikan kesihatan yang baik,” kata Zii Jia yang mengakui ketiadaan Chong Wei dalam skuad negara pada saingan Piala Sudirman 2019 adalah satu kehilangan besar buat pasukan.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali ketika ini masih dalam proses pemulihan susulan kanser hidung dihidapinya dan masih gagal mendapat lampu hijau daripada doktor untuk kembali beraksi dalam kejohanan antarabangsa.

Ketiadaan Chong Wei menyaksikan tugas selaku perseorangan lelaki nombor satu akan digalas Zii Jia pada saingan Piala Sudirman di Nanning, China bermula 19 hingga 26 Mei ini.

Selain Zii Jia, skuad negara turut menyenaraikan dua lagi pemain iaitu Cheam June Wei dan Soong Joo Ven.

Pada saingan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D yang dianggap ‘kumpulan maut’ bersama juara 10 kali, China dan India.

“Ini adalah kejohanan Piala Sudirman yang pertama untuk saya dan sudah pasti saya sedikit teruja. Saya harap dapat menggalas tanggungjawab dan mengawal tekanan dengan baik.

“Ia bukan mudah apabila beraksi dalam perseorangan lelaki kerana ia akan menjadi mata pertama untuk pasukan. Saya dapat rasa kesukaran itu dua tahun lalu melihat kepada apa yang dilalui Chong Wei.

“Saya tahu pemain perseorangan lelaki China dan India memang lebih baik dan saya anggap diri saya underdog. Namun, peluang untuk melakukan kejutan tetap ada,” kata juara Terbuka Taiwan 2018 itu.

Zii Jia, 21, yang dianggap pengganti kepada Chong Wei bakal berdepan tugas mencabar jika diturunkan dalam perseorangan lelaki bagi saingan peringkat kumpulan terutama ketika menentang China dengan dia kemungkinan besar bertemu pemain utama sama ada Chen Long, Shi Yuqi dan juara Olimpik dua kali, Lin Dan.

Pertemuan dengan India turut menjanjikan cabaran getir buat pemain kelahiran Alor Star, Kedah itu apabila dia dijangka menentang pemain nombor lapan dunia, K Srikanth.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");