Berita Hari Ini

Budak Maut Jatuh Tingkat Lima Pangsapuri TLDM

LUMUT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lima pangsapuri kediaman anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa Nur Maizatul Alya Abdullah disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke wad kecemasan Hospital Angkatan Tentera (HAT) di pangkalan tentera berkenaan.

Pejabat Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut dalam kenyataan menjelaskan kanak-kanak berkenaan adalah anak kepada seorang anggota TLDM yang sedang berkursus di KD Pelandok, di sini.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi apabila saksi mendengar bunyi dentuman kuat di balkoni rumah di tingkat tiga sebelum ternampak seorang kanak-kanak tertiarap di lantai kaki lima bangunan.

“Saksi kemudian membawa kanak-kanak berkenaan ke wad kecemasan HAT bagi rawatan kecemasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia.

“Mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, jenazah mangsa dijangka akan dikebumikan di kampung halaman keluarganya di Bandar Jengka, Pahang.

Sementara itu, Komander Pangkalan TLDM Lumut, Laksamana Pertama Roslan Mohd Yunus turut bersimpati dengan keluarga mangsa dan mengingatkan kepada semua ibu bapa supaya lebih prihatin.

Menurutnya, ibu bapa dinasihatkan memantau dan mementingkan aspek keselamatan anak ketika berada di rumah.

Ini adalah kejadian ketiga kana-kanak terjatuh dari pangsapuri kediaman anggota TLDM di sini dalam tempoh enam tahun.

Pada 4 September 2014, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Norfadhiah Alissa Mohd Faizul, parah, selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga pangsapuri kediaman, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi.

Setahun kemudian, iaitu pada 4 Ogos 2015, seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Mohd Saif Miqdad Sabri, luka pada lengan kirinya selepas terjatuh dari tingkat empat pangsapuri kediaman berkenaan.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");