Sukan Hari Ini

FIH Siri Akhir: Peluang Malaysian Tigers Tamatkan Penantian Dua Dekad

KUALA LUMPUR – Skuad hoki negara akan meneruskan usaha mereka untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik selepas hampir dua dekad menunggu apabila memulakan saingan FIH Siri Akhir Lelaki di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini, esok.

Kali terakhir skuad ‘The Malaysian Tigers’ beraksi di pentas Olimpik adalah pada edisi Sydney 2000, di mana pasukan kebangsaan menamatkan saingan di tempat ke-11 dalam kalangan 12 negara yang bertanding.

Skuad negara memilih jalan yang sukar dan mencabar ini selepas gagal mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai juara Sukan Asia 2018, apabila tewas kepada Jepun menerusi penentuan pukulan penalti pada final.

Malaysia perlu menamatkan saingan di kedudukan dua teratas kejohanan kelayakan ke Tokyo 2020 itu untuk mara ke pusingan kelayakan terakhir yang akan berlangsung pada Oktober dan November tahun ini.

Mengikuti format kejohanan FIH Siri Akhir, juara kumpulan akan terus mara ke pusingan separuh akhir, manakala pasukan di kedudukan kedua dan ketiga pula harus menempa jalan yang lebih sukar apabila perlu memenangi aksi ‘crossover’ untuk mara ke separuh akhir.

Skuad kendalian Roelant Oltmans yang menduduki ranking ke-13 dunia, akan membuka tirai menentang pasukan ke-27 dunia, Brazil di mana skuad negara sepatutnya tidak harus menghadapi masalah untuk mengatasi negara Samba itu ketika beraksi di padang yang baharu dinaik taraf.

Cabaran getir menanti Malaysia pada Ahad apabila bertemu pasukan ke-14 dunia, China, yang telah mempamerkan aksi bahaya pada Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, sebelum melengkapkan jadual Kumpulan B menentang Itali (32) pada Isnin.

Kumpulan A pula diduduki oleh pasukan ke-10 dunia, Kanada, yang juga merupakan pasukan ranking paling tinggi di kejohanan tersebut, Austria (19), Wales (24) dan Belarus (31).

Sekiranya skuad ‘The Malaysian Tigers’ gagal mencatatkan kemenangan ke atas China, yang hampir mengejutkan pasukan ketujuh dunia England dan ke-11 dunia Ireland pada Piala Dunia, Malaysia berkemungkinan besar bakal menempuh laluan sukar apabila terpaksa beraksi pada pusingan ‘crossover’ dan bertemu Kanada pada separuh akhir.

“Pada Piala Dunia, China telah membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang baik, tidak ada keraguan, jadi kami tidak mengambil ringan. Kami memandang serius, kami memberi jaminan bahawa kami bersedia, kami mempunyai taktik untuk perlawanan itu,” kata Roelant, yang pernah merasai kejayaan di peringkat Olimpik dan Piala Dunia, lapor Bernama.

“Sudah semestinya kejuaraan menjadi matlamat, tetapi apabila perlawanan bermula kami akan mengambil satu demi satu perlawanan. Saya mempunyai keyakinan yang cukup tinggi terhadap barisan pemain yang dipilih untuk selesaikan tugas dengan sebaik mungkin.

“Saya juga akan menerapkan taktikal menyerang lebih banyak daripada aksi sebelum ini kerana satu daripada masalah yang telah saya kenal pasti adalah menterjemahkan setiap peluang kepada jaringan, jadi menyerang akan menjadi keutamaan dan kami akan cuba untuk mendapatkan seberapa banyak jaringan yang boleh daripada setiap gerakan yang dicipta,” tambahnya.

Ketiadaan penjaga gol veteran, S. Kumar, 39, kerana kecederaan paha sudah pasti menjadi satu kehilangan besar buat skuad negara, namun Mohd Hairi Abdul Rahman dan Mohd Hafizuddin Othman diyakini mampu memikul tanggungjawab mempertahankan gawang negara daripada dibolosi.

Selain beraksi di hadapan penyokong sendiri, Malaysia yang dibarisi oleh pemain berpengalaman seperti kapten Muhd Sukri Abdul Mutalib, Muhammad Razie Abd Rahim, Tengku Ahmad Tajuddin dan dan Faizal Saari memberikan kelebihan bagi mencapai sasaran Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk menjuarai kejohanan itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");