Berita Hari Ini

Pengarah Warga Singapura Didakwa Subahat Lupus Buangan Minyak Di Sungai Kim Kim

JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat warga Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan bersubahat melakukan pelupusan buangan minyak di Sungai Kim Kim pada bulan lalu.

Memetik laporan BH Online, tertuduh, Sim Wei Der, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa bersubahat dengan tiga tertuduh yang didakwa sebelum ini, iaitu pemandu lori, N Maridass, 35, serta dua pengarah, Yap Yoke Liang, 42, dan Wang Jing Chao, 34, yang juga warga Singapura, melupuskan buangan minyak atau enap cemar berminyak ke dalam Sungai Kim Kim.

Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang, antara jam 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, 7 Mac lalu, dengan menggunakan lori dan semitreler tangki minyak sawit tanpa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dibaca bersama Seksyen 42 akta sama dan boleh dihukum bawah Seksyen 34B(4) akta sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM500,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaan Johor, Amir Nasruddin, dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, yang tidak bercadang menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan pertuduhan terbabit adalah serius yang mana ramai orang terkesan akibat percemaran yang berlaku, terutama pelajar sekolah.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Joshua Tay, membantah dengan alasan seorang lagi pengarah syarikat warga Singapura yang dituduh, dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Pasir Gudang setiap 15 hari bulan hingga perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 23 Mei depan.

Semalam, tertuduh yang dikehendaki sejak kira-kira sebulan lalu, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada jam 11.17 pagi.

Pada 24 Mac lalu, Maridass mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan melupuskan buangan minyak itu, manakala Yoke Liang dan Jing Chao didakwa bersubahat dengan pemandu lori terbabit.

Pada 25 Mac lalu, sebuah kilang pemprosesan tayar terpakai, P Tech Resources Sdn Bhd, Yoke Liang dan Jing Chao masing-masing didakwa dengan 15 lagi pertuduhan.

Syarikat dan dua pengarah berkenaan masing-masing menghadapi tujuh pertuduhan gagal membuat pemberitahuan berkaitan pembuangan bahan terjadual seperti ditetapkan bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Mereka juga masing-masing didakwa dengan lapan pertuduhan membabitkan pencemaran udara bersih kerana gagal menjalankan pemantauan berkala mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara bersih) 2014.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");