Berita Hari Ini

Industri Produk Halal Berpotensi Raih KDNK RM1.4 Trilion – Redzuan

AYER KEROH : Malaysia berupaya meningkatkan kadar perolehan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga lima peratus atau RM1.4 trilion melalui pembabitan usahawan produk halal dan berkualiti di pasaran luar negara.

Justeru, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata usahawan negara wajar merebut peluang berkenaan, khususnya yang mengeluarkan produk berkaitan kewangan Islam, makanan, kosmetik, dan farmasi.

“Saya baru pulang dari menyertai forum di Eropah dan Russia. Banyak perkara membincangkan sektor berpotensi tinggi iaitu makanan halal seperti sembelihan halal, gamat dan minyak masak.

“Dalam forum itu disebut dan diperakui Bank Dunia, bahawa produk halal meliputi pasaran AS$7 trilion (RM28.9 trilion), bayangkan, usahawan kita dapat mengambil peluang lima peratus atau AS$350 bilion (RM1.4 trilion) daripadanya, itu sudah cukup. KDNK negara kita RM1.3 trilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Fiesta MED yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi negeri, Norhizam Hassan Baktee mewakili Ketua Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawanan, Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Kata Redzuan, setakat ini beliau berpuas hati apabila menerima maklum balas positif mengenai produk halal dari Malaysia yang diterima pakai di luar negara dari sekecil-kecil produk seperti gamat.

“Bagaimanapun, cabaran kita ketika ini adalah untuk memastikan usahawan kita mengambil peluang sedia ada ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, sehingga hari ini, dianggarkan program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) membabitkan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan di fiesta itu memperoleh hasil jualan tunai RM300,000 manakala nilai potensi jualan produk yang dijangka diterima sepanjang fiesta adalah kira-kira RM10 juta melalui padanan perniagaan.

“SDSI ini akan berterusan, kita akan sasarkan kedudukan usahawan ini dan kenal pasti mereka sebelum mengadakan padanan perniagaan supaya boleh berdaya saing dan perniagaan dikembangkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Fiesta itu disertai semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, antaranya TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKN), Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, PROTEGE, MAGIC, Institut Latihan Keusahawanan Negara (INSKEN) dan UDA Holdings, memetik laporan BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");