Sukan Hari Ini

Kane Mungkin Terlepas Baki Saingan – Pochettino

LONDON: Mauricio Pochettino mencabar anak buahnya supaya menghabiskan kerja yang mereka mulakan selepas mencipta kemenangan 1-0 ke atas Manchester City dalam pertembungan pertama suku akhir Liga Juara-Juara namun mula diselubungi rasa bimbang mengenai kecederaan dihadapi Harry Kane.

Pasukan Pochettino mendapat bekalan hasil ledakan penyerang Korea Selatan, Son Heung-min pada babak kedua di stadium baharu Tottenham Hotspur pagi tadi.

Penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris turut mengecapi kepuasan selepas menebus kesilapannya apabila menggagalkan sepakan penalti Sergio Aguero di babak pertama.

Pochettino nyata bangga dengan aksi dipamerkan pemain Tottenham ketika menentang juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu namun memberi amaran bahawa perjuangan belum tamat.

“Masih ada 90 minit perlawanan dan pencabar kita adalah Manchester City yang sama. Namun dengan semangat yang kami tunjukkan, tiada yang mustahil.”

Namun kejayaan Tottenham itu dibayangi dengan rasa bimbang apabila Kane cedera selepas bertembung dengan Fabian Delph pada awal babak pertama.

Kane akan menjalani ujian imbasan hari ini tetapi Pochettino bimbang pemain harapannya itu akan terlepas baki saingan.

“Ia sangat menyedihkan, kami akan kehilangannya khidmatnya mungkin sehingga habis musim ini,” katanya.

“Kami harap ia bukan kecederaan besar. Tetapi ia memerlukan masa pulih. Buku lalinya terseliuh.”

Dalam pertembungan itu, City wajar menyalahkan diri sendiri susulan kegagalan meraih kemenangan sebelum aksi kedua di Etihad pada 17 April depan.

City yang sudah merangkul Piala Liga dan kini bersiap untuk final Piala FA melain Watford minggu depan turut berjuang mengatasi usaha Liverpool dalam mempertahankan kejuaraan liga, berdepan Spurs menjadi satu-satu halangan untuk menamatkam kempen musim ini dengan empat trofi.

Namun Guardiola mengakui misi berkenaan mustahil dilakukan lebih-lebih lagi selepas menyaksikan anak buahnya kurang tajam ketika berdepan Spurs.

“Tiada siapa mengatakan ia kerja mudah. Kami perlu pamerkan apa yang kami perlu lakukan dalam perlawanan kedua nanti,” kata Guardiola.

“Pada babak kedua, kami berjaya mengawal keadaan, kami tidak melepaskan gol.

“Ia adalah persembahan terbaik tetapi ini adalah Liga Juara-Juara. Kami tewas, tapi kami ada perlawanan kedua dan tengoklah nanti apa yang akan terjadi.” – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");