Perak Hari Ini

Pangkor Bebas Cukai: Jeti Awam, Jeti Kargo Ditetapkan

IPOH: Proses pewartaan Pulau Pangkor sebagai zon atau pulau bebas cukai sedang diusahakan Kementerian Kewangan bagi meminda beberapa akta dan perundangan subsidiari yang terlibat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata antara akta yang disenaraikan ialah Akta Kastam 1967; Akta Eksais 1976; Akta Cukai Jualan 2018; Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan Akta Zon Bebas 1990.

Katanya, menerusi persetujuan Kementerian Kewangan pada 22 Januari yang lalu, jeti di Pekan Pangkor akan ditetapkan sebagai Jeti Awam Pelancong manakala jeti di Sungai Pinang Besar sebagai Jeti Kargo.

“Kerajaan Negeri kini sedang menyelaras aspek-aspek pelaksanaan yang berkaitan termasuklah keperluan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan projek-projek keutamaan lain bagi membolehkan pulau bebas cukai Pangkor dapat dibangunkan secara strategik dan bersepadu demi manfaat rakyat Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, dekat sini, pada Isnin.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN- Pangkor), Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata kerajaan negeri kini sedang memperincikan beberapa item yang akan disenaraikan dalam barangan bebas cukai.

“Saya berpandangan sama iaitu pembangunan untuk industri pelancongan terutama di Pulau Pangkor ini perlu kita jaga dengan baik supaya ia sesuai dengan pelancongan keluarga.

“Berkenaan dengan item-item yang akan diberikan pengecualian cukai, kerajaan negeri sedang memperincikan perkara tersebut dengan Kementerian Kewangan,” ujarnya.

Sementara itu, Teoh Yee Chern (PH- Astata) turut bertanyakan langkah kerajaan negeri supaya perancangan menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai turut memberi manfaat yang baik kepada warga tempatan, selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada pembukaan Sidang DUN minggu lalu.

Ahmad Faizal berkata, Kerajaan Perak sedang giat merangka beberapa perancangan jangka masa pendek, sederhana, dan jangka masa panjang di kawasan pelancongan tersebut.

Tambahnya, ia termasuk dengan penyelarasan, isu keselamatan, projek-projek infrastruktur serta penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa kerja yang melibatkan kerjasama antara jabatan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

“Pada masa sama kita juga perlu mendidik penduduk tempatan agar tidak menjual tanah yang dimiliki sebaliknya mereka harus bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri dan swasta agar dapat memajukan kawasan tersebut supaya dapat menjadi pusat pelancongan yang utama di negara kita,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");