Berita Hari Ini

Penyenaraian Malaysia Dalam Indikator ‘K’ Tak Berasas

KUALA LUMPUR: Penyenaraian Malaysia dalam indikator ‘K’ yang berpotensi berlakunya penculikan disifatkan tidak berasas kerana situasi sebenar masih dalam kawalan berikutan operasi keselamatan yang berterusan.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata walaupun penyenaraian yang dilakukan dalam Travel Advisory (Nasihat Perjalanan) itu mencerminkan keprihatinan Amerika Syarikat (AS) terhadap jenayah penculikan dan tebusan di kawasan timur Sabah, ia menjejaskan keyakinan pelancong untuk mengunjungi negara ini.

“Dilaporkan ketibaan pelancong di Sabah meningkat sebanyak 5.5 peratus, mencecah 3.87 juta tahun lalu.

“Sabah turut menduduki senarai lima teratas negeri yang kerap dikunjungi di Malaysia, manakala Kota Kinabalu berada di kedudukan kesembilan dalam senarai destinasi pilihan pelancong Asia ketika Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

“Selain itu, Malaysia juga terus menjadi pilihan pelancong AS apabila mencatatkan peningkatan 27.9 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan mencapai 253,384 orang tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, Malaysia turut berada pada kedudukan ke-25 dalam senarai Indeks Keamanan Global pada tahun lalu, sekali gus membuktikan negara ini selamat untuk dikunjungi.

“Jenayah di seluruh negara menunjukkan penurunan sebanyak 11.9 peratus atau 11,949 kes pada tahun lalu berbanding 2017.

“Bagaimanapun, kita mesti menerima hakikat bahawa tiada negara di dunia yang bebas daripada jenayah termasuk Malaysia namun pelancong akan berada dalam keadaan selamat selagi mereka berhati-hati dan mendengar nasihat pihak berkuasa, hotel dan ejen pelancongan,” katanya.

Pada masa sama, Lam Thye turut menyarankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencari jalan terbaik bagi menangani persepsi negatif orang ramai terhadap tahap keselamatan yang disifatkannya masih tidak berubah.

“Antara faktor utama persepsi negatif itu masih meluas adalah kerana kekerapan cerita jenayah dilaporkan media, perkongsian cerita jenayah di media sosial turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat kerana kebanyakan mereka mempunyai pengalaman sendiri menjadi mangsa jenayah.

“Polis perlu meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain, masyarakat setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta untuk mendapatkan semula keyakinan orang ramai supaya perkongsian maklumat boleh dibuat dengan lebih pantas,” katanya.

Justeru, beliau berpendapat, usaha berterusan untuk merapatkan hubungan antara polis dan orang awam amat perlu kerana ia dapat mewujudkan kepercayaan.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");