Berita Hari Ini

Rosmah hadapi tuduhan baharu Kes Projek Solar

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta berhubung Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Rosmah, 68 mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Ditanya sama ada Rosmah mengaku bersalah atau tidak, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata: “Minta bicara”

Rosmah yang hadir berbaju kurung dan selendang hijau tiba di mahkamah kira-kira jam 8.56 pagi dengan ditemani anak lelakinya Norashman Najib dan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan kertas pertuduhan, Rosmah didakwa menerima suapan untuk diri sendiri iaitu wang tunai RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor, 45.

Perbuatan itu sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Nombor 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, pada 20 Disember 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, menawarkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, dengan alasan pertuduhan itu membabitkan kes serius dengan suapan bernilai RM5 juta.

Bagaimanapun, Rosmah yang diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir, dalam rayuannya memohon mahkamah mengguna pakai jaminan dalam pertuduhan terdahulu membabitkan projek sama.

“Jumlah RM1 juta adalah tinggi dan tertuduh dalam kes ini adalah seorang suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Pada prosiding, pendakwaan turut memaklumkan mahkamah pihaknya akan membuat permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan dibicarakan bersama dua kes lain.

Mahkamah membenarkan Rosmah menggunakan jaminan terdahulu dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pada 15 November tahun lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta suapan RM187.5 juta, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini, antara Mac hingga April 2016 – BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");