Berita Hari Ini

Suri Rumah Didakwa Perdagang Bayi

KLANG: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan memperdagangkan bayi pada Februari lalu.

Nik Rahimah Nik Mohd Nawi, 58, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozianayati Ahmad selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 iaitu memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia 15 hari, satu kesalahan mengikut Seksyen 48(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran pejabat Pesuruhjaya Sumpah Selayang, Bandar Baru Selayang, kira-kira jam 10 pagi, 8 Februari lalu.

Bagi kesalahan kedua, Nik Rahimah didakwa mengikut peruntukan sama, memperdagangkan seorang bayi lelaki berusia tiga hari, di tempat letak kereta di Balai Polis Batu Arang, Gombak, kira-kira jam 8.40 malam pada 23 Februari lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun selain boleh didenda.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Safarizal Zakaria memohon supaya kes itu dibicarakan bersama berikutan ia membabitkan saksi yang hampir sama.

Beliau juga memberitahu mahkamah pendakwaan tidak menawarkan jaminan berikutan ia kesalahan tidak boleh jamin selain membabitkan kepentingan awam.

“Tertuduh dalam kes ini didakwa dengan dua pertuduhan yang sangat serius yang membawa hukuman penjara tidak kurang 20 tahun dan boleh didenda.

“Sekiranya mahkamah mahu memberikan jaminan, saya memohon jaminan yang tinggi diberikan selain syarat tambahan seperti perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

“Dia juga perlu dijamin oleh warga tempatan dan tidak boleh mengganggu saksi,” katanya.

Peguam Razi Abd Razak yang mewakili tertuduh, berkata, Nik Rahimah yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak, akan dijamin oleh suaminya sendiri.

Beliau berkata, sepanjang sembilan hari tertuduh ditahan reman, dia memberikan kerjasama sepenuhnya.

Katanya, suami tertuduh yang juga seorang peniaga mempunyai pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dan pasangan itu mempunyai dua anak yang perlukan penjagaan kesihatan iaitu seorang anak berusia 14 tahun yang mempunyai masalah pembelajaran dan seorang lagi berusia lima tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang.

“Keluarga tertuduh dan penjamin bukanlah orang yang berada,” katanya.

Rozianayati membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan selain memerintahkan dia melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Beliau juga memerintahkan tertuduh atau ejennya untuk tidak bertemu dan mengganggu saksi.

Rozianayati menetapkan 15 Mei ini sebagai tarikh sebutan untuk serahan dokumen memetik laporan BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");