Perak Hari Ini

Usul Tergempar Berkenaan MAPS Berkemungkinan Tidak Akan Dibentangkan

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpandangan bahawa usul tergempar berkenaan dakwaan salah laku terhadap pengurusan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) yang terdahulu tidak akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

Katanya beliau merasakan beberapa langkah yang sedang dan telah dilakukan terhadap MAPS seperti pelan perniagaan baharu, mengadakan audit dalaman dan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mencukupi.

“Saya dan beberapa rakan dalam Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpandangan jika kita di barisan kerajaan, dan mendesak kerajaan untuk melakukan sesuatu terhadap MAPS, saya rasakan ia tidak kena.

“Kita telah pun mengambil beberapa tindakan tegas. Jadi saya kira segala tindakan itu sudah memadai.

“Untuk usul di Dewan Negeri itu, setelah saya melihat perbahasan yang begitu panjang dalam kalangan ahli-ahli dewan, saya merasakan ia cukup setakat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis peletakan batu asas Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin di Kampung Tersusun, Tanah Hitam, Chemor dekat sini hari ini.

Pada rabu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin berkata beliau bakal membentangkan usul berkenaan segala salah laku dan kerugian yang ditanggung MAPS disebabkan pentadbiran sebelum ini, pada Selasa minggu hadapan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata kedudukan kewangan taman tema tersebut kini berada dalam keadaan terkawal dan stabil.

Tambahnya, kerajaan negeri juga dalam usaha untuk menyelesaikan masalah hutang yang menghampiri setengah bilion ringgit terhadap taman tema berkenaan.

Ujarnya lagi, pihak pengurusan MAPS juga sedang merangka pelan perancangan perniagaan baharu mereka yang akan diumumkan kelak.

Selain itu, Ahmad Faizal juga mengulangi pendirian bahawa MAPS tidak akan ditutup sebaliknya kerajaan negeri akan terus menyokong taman tema tersebut.

“Sayang sekiranya ia akan ditutup kerana ramai pekerja dalam kalangan anak tempatan kita di sana.

“Sekiranya ia ditutup ia akan merosakkan tempat tersebut dan seterusnya akan mengakibatkan kerugian yang lebih besar.

“Pada masa ini, kedudukan kewangan MAPS baik dan mampu untuk membayar gaji pekerja. Malah kerajaan negeri pun berusaha untuk mengadakan beberapa program di sana supaya mereka boleh menjana lebih banyak pendapatan,” jelasnya.

Pada masa sama, Ahmad Faizal turut tidak menafikan bahawa bekas Menteri Besar Perak yang juga ADUN Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ada mengadakan beberapa pertemuan dengannya sebelum ini.

“Kita ada berjumpa beberapa kali dan berbincang tentang banyak perkara. Tidak hanya berkenaan MAPS,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");