Perak Hari Ini

Agih Kekayaan Negara Dengan Adil – Tun Mahathir

IPOH: Kerajaan harus mengagihkan kekayaan negara kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa dengan adil, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ujarnya dengan perkara demikian, keadaan negara akan terus aman selain dapat menghindari daripada berhadapan dengan perkara yang tidak dingini seperti rusuhan dan keganasan.

“Jika kita abaikan usaha mengagihkan kekayaan negara dengan baik, maka akan berlaku perasaan tidak senang antara satu sama lain.

“Dan perasaan ini, lama-kelamaan, ia akan mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara kita,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan harus terus menumpukan kepada usaha untuk mengagihkan kekayaan dan peluang-peluang dalam negara kepada rakyat dengan adil.

Jelasnya lagi, hasil daripada pentadbiran yang bersih daripada rasuah ia juga akan memberi nikmat yang baik yang akan dirasai semua pihak.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Townhall Perdana Menteri bersama penjawat awam di Kelab Golf Diraja Perak, di sini, hari ini.

Sebelum menutup ucapan perasmian, beliau sempat bergurau dengan mengatakan perkataan ‘townhall’ adalah baharu baginya.

“’Townhall’ ini perkataan baharu bagi saya. Semasa zaman saya dahulu tak ada,” katanya di hadapan lebih 1,000 penjawat awam.

Sebagai gimik perasmian, Perdana Menteri menerima sebuah lukisan potret beliau daripada pelukis masyarakat Orang Asli yang juga wakil Persatuan Kebajikan Orang Asli Batang Padang, Gasur Kana.

Program turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Abu Seman serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");