Perak Hari Ini

Bendera Perak Dikibar Separa Tiang

IPOH- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya semua bendera di negeri Perak dikibarkan separa tiang sehingga selesai istiadat permakaman jenazah Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dalam satu kenyataan, menyampaikan ucapan takziah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta seluruh rakyat Pahang.

“Sultan Haji Ahmad Shah telah meninggalkan terlalu banyak jasa sebagai Sultan Pahang kelima dan Yang diPertuan Agong ketujuh kepada negara, negeri dan rakyat.

“Sebagai seorang Sultan yang terkenal dengan ungkapan “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”, Almarhum telah meninggalkan legasi dalam pelbagai bidang, merangkumi bidang-bidang agama, pentadbiran, ketenteraan, pendidikan, budaya, sosial, kebajikan dan sukan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataannya turut menzahirkan ucapan takziah atas kemangkatan Almarhum.

Kata Ahmad Faizal, Baginda terkenal sebagai seorang Sultan yang senantiasa mendekati dan mesra dengan rakyat dan senang didampingi oleh rakyat jelata.

“Semasa hayat, Baginda berjaya memenuhi peranan Raja berperlembagaan, menjadi payung naungan yang berjaya menyatukan rakyat pelbagai agama – pelbagai kaum, hidup secara rukun dan damai lagi harmonis,” katanya.

Tambah beliau, kemangkatan Sultan Haji Ahmad Shah bukan sahaja satu kehilangan besar, dalam kalangan rakyat di Negeri Pahang Darul Makmur, tetapi turut dirasai oleh rakyat di Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Sebagai tanda bersedih dan berdukacita rakyat di negeri Perak Darul Ridzuan, Sultan Perak berkenan agar bendera Perak dikibarkan separuh tiang bermula hari ini dan hari esok sebagai tanda menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

“Bersama-sama kita mendoakan semoga roh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, dirahmati dan mendapat belas ihsan daripada Allah SWT ditempatkan bersama-sama roh para solihin,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");