Berita Hari Ini

Mahkamah Tolak Rayuan Samirah Muzaffar

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini, menolak rayuan isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Samirah Muzaffar untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini yang menolak permohonan ikat jamin atas dakwaan membunuh suaminya.

Keputusan dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Kamardin Hashim.

Kamardin ketika membacakan keputusan itu, berkata mahkamah berpandangan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam membuat keputusan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Terdahulu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dalam hujahnya, berkata ikat jamin terhadap tertuduh tidak boleh dibenarkan kerana kes yang dihadapinya adalah jenayah serius dan membabitkan kepentingan awam.

Jamil berkata, adalah tidak adil untuk tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan diberikan ikat jamin sedangkan hampir 100 peratus tertuduh kes sama sebelum ini direman sehingga kes selesai.

“Apa istimewanya untuk mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan alasan untuk menjaga anaknya sedangkan mereka masih mempunyai bapa kandung.

“Tidak ada yang luar biasa dalam kes ini kecuali laporan pertama bedah siasat berlainan dengan laporan polis dan bomba,” katanya.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili pemohon, dalam hujahnya, berkata tiada bukti anak buahnya akan mengganggu saksi seperti yang dinyatakan pihak pendakwaan.

Selain itu, katanya, anak guam beliau juga tidak mempunyai motif untuk membunuh suaminya dan itu masih belum boleh dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Pada 11 April lalu, Samirah, 44, yang juga tertuduh pertama dalam kes pembunuhan suaminya, Allahyarham Nazrin Hassan, gagal dalam permohonan mendapatkan jaminan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim mahkamah berkenaan, Datuk Ab Karim Ab Rahman dilaporkan, berkata mahkamah mengambil kira seriusnya dakwaan dihadapi Samirah yang membawa hukuman berat, iaitu gantung, selain ada kemungkinan saksi kes itu akan diganggu.

Ab Karim kemudian menetapkan 21 Jun ini untuk tarikh sebutan bagi pengurusan kes, manakala perbicaraan bermula 3 September ini.

Pada 12 Mac lalu, Samirah serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan membunuh Nazrin pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, dua tertuduh juvana berkenaan dibenarkan ikat jamin pada 27 Mac lalu, masing-masing dengan jaminan RM50,000 bersama dua penjamin berbeza.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");