Berita Hari Ini

MOA Akan Perluas Tanaman Padi Wangi

PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan memperluaskan tanaman padi wangi (MRQ 76) di negara ini bagi meningkatkan pendapatan petani, kata Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, tindakan itu akan dilaksanakan di sebahagian kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian (MADA) berdasarkan kesesuaian tanah dan kompetensi perairan.

Justeru, katanya, dua agensi terbabit digesa membuat pelan tindakan komprehensif supaya kajian dibuat secepat mungkin bagi menentukan peratusan kawasan KADA dan MADA yang boleh ditanam padi wangi berkenaan.

“Kita sudah buat keputusan perluas tanaman padi wangi bagi meningkatkan pendapatan petani dan memulihkan ekosistem tanaman itu dengan tidak bergantung kepada beberapa jenis saja.

“Bagaimanapun, tidak semua jelapang boleh menanam padi wangi kerana ia boleh mendatangkan penyakit, jadi kita memerlukan kepakaran 600 saintis daripada nstitut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi melakukan kajian lebih mendalam.

“Kelantan sudah terbukti boleh menghasilkan beras wangi berkualiti setaraf negara jiran, Thailand dan Vietnam. Jadi, kenapa kita tidak teroka bidang baharu ini dengan agresif dengan menjadikan Malaysia pembekal beras wangi berkualiti,” katanya selepas Majlis Dialog Bersama Petani dan Perasmian Padi di Kampung Bendang Kolam Tembusu, Kedai Menanti, Selising, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi KADA, Datuk Husam Musa dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Padi Wangi Kelantan, Zailan Awang.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, pihaknya juga bersetuju memberi subsidi kepada pengusaha tanaman padi wangi seperti padi biasa.

Katanya, sebelum ini pihaknya tidak menggalakkan penanaman padi wangi, namun selepas melihat kejayaan di negeri ini, kementerian bersetuju memperluaskan tanaman terbabit.

“Kualiti padi wangi dihasilkan tidak boleh dipertikai dan ia terbukti mampu ditanam di beberapa tempat jelapang di negara kita. Ini permulaan yang mengujakan untuk melangkah ke depan bagi memajukan industri beras wangi di negara ini,” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");