Perak Hari Ini

Pastikan Bekalan Daging Ayam Mencukupi – Exco

IPOH: Para pengusaha dan penternak ladang ayam di Perak disaran agar sentiasa memastikan bekalan daging ayam bagi pasaran di negeri ini mencukupi, khususnya menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata ini bagi memastikan supaya jumlah pembekalan daging ayam di Perak tidak mengalami masalah pada sambutan hari tersebut.

Katanya ia juga sebagai langkah untuk mengawal harga daging ayam di pasaran.

Tambahnya mereka juga harus mengutamakan pasaran di Perak terlebih dahulu sebelum mengeksport ke luar.

“Mungkin apabila kekurangan bekalan maka harga tidak boleh dikawal. Oleh sebab itu, penternak ayam harus bersedia memastikan bekalan daging ayam mencukupi.

“Jika mereka ada membuat perjanjian untuk membekalkan ayam ke luar negeri, para pembekal harus dimaklumkan terlebih dahulu berhubung perkara ini, untuk mengelakkan kekurangan bekalan di Perak,” katanya.

Walaupun beberapa tahun kebelakangan ini Perak tidak mengalami masalah kekurangan daging ayam mentah di pasaran namun ujar Sivanesan ia sebagai satu langkah persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Jelasnya sehubungan dengan itu, pada 23 Mei ini, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pengusaha dan penternak ladang ayam Perak untuk membincangkan perkara tersebut di pejabatnya.

Katanya di negeri ini terdapat lebih daripada 100 orang penternak ladang ayam dan kebanyakannya berada di Manjung.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Sivanesan berkata, Jabatan Kesihatan mengadakan kawalan dan pemeriksaan setiap hari di semua 111 lokasi bazar Ramadan seluruh negeri.

Menurutnya, antara lain operasi itu bertujuan memberi kesedaran kepada peniaga dan pembeli akan kebersihan dalam pengendalian makanan.

“Setiap tahun kita terima laporan sakit perut, muntah dan cirit birit berlaku membabitkan pembelian makanan di bazar Ramadan, kita tidak mahu masalah ini terus berulang.

“Sebelum terjadinya kes sedemikian, ada baiknya kita turun padang dan memberi maklum balas secara terus kepada peniaga dan pembeli,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");