Membawang Hari Ini

Sofi Jikan Diperintah Bela Diri

PETALING JAYA: Pelakon filem KL Gangster, Sofi Jikan diperintahkan oleh Mahkamah Majistret di sini, membela diri atas pertuduhan mengambil ganja tahun lalu.

Memetik laporan Utusan Online, Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie dalam kes itu.

“Mahkamah membuat keputusan ini selepas meneliti semua bukti, keterangan, dokumen dan hujah.

“Selepas membuat penilaian maksimum, saya memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie. Oleh itu mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri,” katanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam bela Datuk Haniff Hassan.

Terdahulu, ketika ditanya mahkamah, Sofi Jikan atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, memberitahu dia akan membela diri secara bersumpah di dalam kandang saksi.

Mahkamah menetapkan 28 Jun depan untuk Sofi Jikan membela diri.

Sementara itu Haniff memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan seorang saksi iaitu Sofi Jikan sendiri untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, menurutnya jika ada saksi tambahan pihaknya akan memaklumkan kepada mahkamah.

Pada 13 Februari tahun lalu, Sofi Jikan didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 11.15 malam, 6 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");