Perak Hari Ini

Sultan Nazrin Berkenan Merasmikan Program Tadabbur Al-Quran Peringkat Negeri Perak

BATU GAJAH- Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri Perak di Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Kampung Serani di sini, malam ini.

Turut mengiringi baginda, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta beberapa orang barisan exco.

Sultan Nazrin yang berangkat tiba pukul 7 malam berkenan menyempurnakan program Tadabbur Al-Quran yang dijalankan dalam bentuk kelas pengajian berjadual dalam tempoh 30 minit bagi setiap organisasi.

Program berkenaan melibatkan semua institusi masjid, surau serta agensi kerajaan termasuk sekolah dan agensi swasta.

Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Imam Utama Masjid Panglima Kinta Ustaz Qamaruzaman Daud diikuti dengan majlis tahlil sementara menanti waktu berbuka puasa.

Baginda kemudian menunaikan solat Maghrib bersama tetamu kehormat, jemputan dan masyarakat setempat di masjid berkenaan.

Pada majlis yang sama, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat sempena Hari Raya Aidilfitri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sebanyak RM1.9 juta kepada penghulu yang mewakili 7,610 penerima dari lapan mukim.

Lapan mukim itu ialah Hulu Kinta Ipoh, Ulu Kinta Chemor, Ulu Kinta Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Lahad, Sungai Raia, Sungai Terap, Tanjung Tualang serta Belanja Tronoh.

Sejurus selepas itu, baginda berkenan menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih secara berjemaah dan menyertai jamuan moreh sebelum berangkat pulang.

Pada majlis sama, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB), Raja Datuk Abd Jalil Raja Zaid turut menyampaikan zakat fisabilillah kepada pihak pengurusan masjid sebanyak RM50,000.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");