Berita Hari Ini

Video Tular: Dua Individu ‘Penarik Kereta’ Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis sudah menahan dua daripada tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam cubaan menarik kereta seorang wanita di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Jumaat lalu yang kemudian turut tular di media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata kedua-dua suspek terbabit ditahan semalam di sekitar Kuala Lumpur.

“Tangkapan pertama dibuat selepas pemandu trak tunda itu tampil menyerah diri pada jam 2.20 petang, manakala rakannya ditahan di sebuah hotel pada jam 11.50 malam.

“Seorang lagi suspek masih belum ditahan dan kita gesa agar individu terbabit segera menyerah diri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini, lapor BH Online.

Semalam, media melaporkan seorang wanita hampir menjadi mangsa tiga lelaki yang mendakwa dia tidak membayar ansuran kenderaan miliknya selama 19 bulan.

Rakaman video berhubung kejadian itu turut viral di media sosial, dipercayai dirakam wanita terbabit.

Mazlan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mazlan berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung tindakan membaling botol arak kosong di perkarangan Surau Al-Makmur Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, Jalan Pantai Dalam di sini, malam kelmarin.

“Kita akan melihat kes ini daripada segi khianat, kita pandang serius kejadian ini dan saya meminta agar masyarakat perlu saling faham dan menghormati agama lain.

“Kita akan pantau dan esok kita akan ke surau terbabit untuk program cegah jenayah,” katanya.

Terdahulu, BH melaporkan jemaah Surau Al-Makmur Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, Jalan Pantai Dalam di sini, dikejutkan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membaling beberapa botol arak kosong di perkarangan surau berkenaan, malam kelmarin.

Kejadian dikatakan bermula sekitar jam 8.30 malam ketika jemaah dari Blok 100 dan 102 PPR terbabit ke surau itu untuk menunaikan solat Isyak seterusnya solat sunat Tarawih.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");