Berita Hari Ini
Like

Wajibkan Suntikan Vaksin Campak Elak Penularan – Kajian

May 17, 2019
360 Views
0 Comments
1 minute read
Wajibkan Suntikan Vaksin Campak Elak Penularan – Kajian

PARIS: Vaksin menentang campak perlu diwajibkan kepada kanak-kanak sebelum mereka memulakan sekolah dalam usaha mengelakkan penularan masa depan penyakit yang muncul semula itu, menurut analisis baru yang disiarkan hari ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kes campak, jangkitan virus amat berjangkit yang menyebabkan ruam dan demam yang boleh membawa maut, meningkat 300 peratus pada 2018.

Ketika banyak kes berlaku di negara yang berhadapan ketegangan atau konflik, beberapa negara maju menunjukkan peningkatan jangkitan, fenomena yang dirujuk pakar kepada ‘penentangan vaksin’.

Walaupun berkesan dan murah, semakin ramai ibu bapa sengaja mendedahkan anak mereka kepada bahaya kerana terpengaruh dengan kertas kerja yang disiarkan lebih 20 tahun lalu, menyemarakkan teori konspirasi mengenai rancangan menyebarkan penyakit berkenaan.

Filippo Trentini dan rakannya dari Yayasan Bruno Kessler mengkaji keadaan itu di tujuh negara kaya dan menggunakan komputer untuk memeriksa beberapa senario vaksin antara kini dan 2050.

Mereka mendapati di hampir semua negara yang dikaji, program imunisasi tidak akan berjaya mengekalkan tahap ‘selamat’ imuniti dalam kalangan penduduk.

WHO menyatakan, bilangan individu yang tidak divaksin tidak boleh melebihi enam hingga lapan peratus penduduk dalam usaha mengelakkan penularan meluas.

“Ini adalah fenomena kompleks dan ia mempunyai pelbagai sebab bergantung kepada kawasan.

“Di negara kaya, sebagai contoh, ia dikaitkan dengan keengganan vaksin dan sekumpulan orang yang tidak divaksin dalam kumpulan tertentu penduduk,” kata Trentini. — AFP

Komen & Pendapat

Comments are closed.