Berita Hari Ini

Yang Kaya Tauke Jersi ‘Klon’

KUALA LUMPUR: Modalnya tidak besar tapi keuntungannya mampu mencecah ratusan ribu ringgit.

Pihak yang gigit jari adalah persatuan bolasepak negeri kerana kegiatan cetak rompak pelbagai barangan termasuk jersi dan cenderamata menyebabkan mereka menanggung kerugian dalam jumlah besar, sekali gus menolak andaian bahawa jualan barangan terbabit boleh menjana keuntungan lapor HMetro.

Malah, isu berkenaan yang membelenggu sejak puluhan tahun lalu sememangnya tiada penyelesaian yang jitu apabila barangan cetak rompak dijual secara berleluasa tanpa sebarang tindakan proaktif hingga dilihat sebagai perkara biasa.

Mengikut harga sebenar, setiap jersi tulen adalah dalam lingkungan RM100 hingga RM300 bergantung kepada jenama selain cenderamata pula seperti mafla, topi dan rantai kunci pula boleh diperoleh sekitar RM20 hingga RM50.

Harga berkenaan jauh berbeza dengan produk cetak rompak yang boleh didapati dengan harga serendah RM10 untuk jersi pasukan, manakala barangan lain pula dalam lingkungan RM5 hingga RM20 saja.

Situasi terbabit diakui Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) apabila pihaknya kerugian puluhan ribu ringgit apabila jersi dan produk pasukannya dicetak rompak seterusnya gagal mendapat tempat dalam kalangan penyokong skuad The City Boys.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, menjana pendapatan menerusi penjualan jersi dan barangan cenderamata boleh dikatakan agak mustahil jika situasi sekarang ini tidak ditangani segera apabila ramai pihak tidak bertanggungjawab menjual barangan cetak rompak terutama di luar stadium.

“Itu belum lagi pihak tertentu menjual jersi dan barangan cenderamata menerusi dalam talian, sekali gus sukar untuk KLFA menangani masalah berkenaan sekali gus terpaksa melupakan hasrat menjana pendapatan menerusi perniagaan itu.

“KLFA tidak mampu bertindak sendiri untuk menyekat penjualan barangan cetak rompak walaupun ia dijalankan di luar stadium. Kami mengharapkan kerjasama pihak berkuasa untuk menanganinya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Mohd Ashiq Abd Samad mendakwa, untuk menjual 100 helai jersi tulen dilihat cukup sukar apabila produk cetak rompak lebih menguasai pasaran.

“Lebih baik selesaikan masalah cetak rompak yang semakin berleluasa dan masih lagi tidak ditangani dengan baik kerana sekarang ini jersi dan barangan cenderamata tulen cukup sukar dijual kepada penyokong.

“Setakat ini, saya tidak nampak penjualan barangan tulen boleh menjana pendapatan malah lebih merugikan persatuan apabila jualan tidak laku atau sambutan dingin daripada penyokong,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pahang, Datuk Suffian Awang melihat jersi tulen yang dijual oleh pihak tertentu terlalu mahal hingga menyebabkan penyokong lebih memilih versi cetak rompak.

“Patutnya mereka jual jersi tulen mengikut gred tertentu sekali gus boleh letak harga yang mampu milik bukannya harga menjual satu versi saja sekali gus penyokong bola sepak tidak mampu untuk membelinya. Kita tidak boleh samakan keadaan bola sepak di Malaysia dengan Eropah kerana situasi mereka berbeza selain mempunyai kelompok peminat yang ramai,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");