Membawang Hari Ini

A Rahman Hassan Masuk ICU, Alami Jangkitan Kuman

KUALA LUMPUR: Genap seminggu dibenarkan keluar hospital, penyanyi popular era 1960-an, Datuk A Rahman Hassan, 73, dikejarkan semula ke hospital selepas tidak sedarkan diri, kira-kira jam 10 malam tadi.

Isterinya, Datin Fadilah Mansor berkata, suaminya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang berikutan masalah jangkitan kuman pada paru-paru, selain lemah jantung.

Katanya, ketika kejadian, mereka sekeluarga baru pulang daripada menziarahi kakak Allahyarham Datin Azizah Mohamad di Kepong, dekat sini sebelum singgah di sebuah stesen minyak.

“Kami pergi berhari raya dengan tiga kereta, malah dia memandu sendiri pada malam itu. Kebiasaannya, saya atau anak yang memandu.

“Dalam perjalanan pulang, kami berhenti di stesen minyak kerana dia mahu membeli roti. Mujur ketika itu, ada pembantu peribadi yang menemaninya.

“Saya yang menunggu di kereta terkejut selepas seorang petugas di premis itu memaklumkan suami pitam. Saya menggigil disebabkan terkejut kerana sebelum itu, keadaannya baik-baik sahaja,” katanya.

A Rahman kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans. Dia yang belum sedarkan diri masih dalam pemantauan pakar perubatan.

Terdahulu, pada 1 Jun lalu, A Rahman dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 3.30 pagi akibat masalah jantung.

Dia bagaimanapun, menafikan mengalami serangan jantung, sebaliknya memaklumkan badannya kurang rehat dan mengalami tekanan.

Vokalis kumpulan Orkes Nirwana itu dibenarkan keluar dari HKL sehari sebelum 1 Syawal dan meraikan hari raya di kampungnya di Larkin, Johor.

Kata Fadilah lagi, doktor sudah melakukan beberapa ujian dan mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-paru suaminya.

Sementara itu, anak sulung penyanyi itu, Khir Rahman meminta orang ramai supaya mendoakan kesihatan ayahnya dalam satu perkongsian menerusi laman sosial.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");