Berita Hari Ini

Dr M Tegur sikap peneroka hanya urus tanaman sendiri

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menegur sikap peneroka Felda yang menurutnya hanya mengurus tanaman sendiri hingga menjejaskan sumber pendapatan mereka dan terus mengharapkan subsidi kerajaan.

Mahathir berkata, peneroka Felda sewajarnya bekerjasama dengan pengurus ladang bagi memastikan pengurusan tanaman dilakukan secara cekap dan lebih efisien.

“Itu tersilap. Kita cadang buat estet besar yang mana dalam estet itu setiap peneroka akan memiliki 10 ekar tanah. Kalau 1,000 ekar ada 100 orang, tetapi saya dapati ia tidak dilakukan.

“Masing-masing peneroka menguruskan tanahnya sendiri sahaja. Ia tidak cekap dan tidak ada modal. Kena ada modal juga sekiranya hendak menguruskan estet.

“Bila tanah 10 ekar, (ia) hanya diuruskan seorang peneroka sahaja, maka itu menyebabkan pendapatan mereka rendah,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar Kementerian Pembangunan Luar Bandar, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Pada masa sama Mahathir berkata, petani dan pekebun akan berterusan bergantung kepada subsidi daripada kerajaan sekiranya mereka mengusahakan tanaman berskala kecil.

“Sepanjang masa petani semuanya miskin belaka, tidak dapat pendapatan secukupnya. Hal ini kerana mereka hanya mempunyai kawasan kecil. Kawasan kecil tidak berikan hasil mencukupi kepada pemiliknya.

“Selagi ada kawasan pertanian yang kecil ini, maka selama itulah petani akan terus miskin dan memerlukan bantuan subsidi daripada kerajaan. Maka pertanian kecil ini mesti diperbesarkan,” katanya.

Mahathir berkata, adalah lebih baik sekiranya petani dan pekebun bersama-sama menggabungkan kawasan pertanian mereka supaya dapat membentuk sebuah estet.

“Inilah cara yang kita boleh bantu mereka untuk tambah pendapatan. Jika hasil pertanian diperoleh, ia akan diagih mengikut luas kawasan asal yang dicantum. Keuntungan akan diagih dengan cara adil.

Baginya, petani dan pekebun perlu mengubah pemikiran mereka dan tidak lagi berfikir hanya untuk melakukan tanaman bersifat skala kecil. Jika ia masih berlaku, masalah kemiskinan dalam kalangan petani dan pekebun sukar diatasi.

“Penduduk kampung harus ubah cara hidup mereka. Inilah perubahan yang akan atasi kemiskinan di luar bandar. Saya harap mereka dapat menerimanya kerana ia bertujuan beri kehidupan setaraf dengan penduduk bandar,” katanya.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");