Berita Hari Ini

Jangan Takbur Bila Perjuang Nasib Rakyat, Pemimpin PPBM Beritahu Kerabat Diraja

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Tariq Ismail Mustafa hari ini menasihatkan kerabat diraja mematuhi adab Melayu dan nilai sejagat ketika memperjuangkan nasib rakyat bagi mengelakkan sifat takbur.

“Sifat lantang dan berani dalam memperjuangkan nasib rakyat amat terpuji.

“Namun, jika ianya dibuat dengan sekelumit sifat riak akibat pangkat, darjat dan kekayaan, kelantangan itu tidak akan mendatangkan manfaat kepada rakyat marhaen akhirnya, apatah lagi pada diri sendiri,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini merujuk “seorang keluarga diraja dari singgahsana di hujung selatan Semenanjung”.

Tariq merujuk perang mulut terbuka antara istana Johor dan Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini membabitkan isu ratifikasi Statut Rom, peletakan jawatan menteri besar Johor, cadangan menggantikan perdana menteri dan projek Sistem Transit Rapid (RTS).

Pada 5 Mei lalu, Mahathir menyifatkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai “bodoh” dan “budak kecil”, selepas Tunku Mahkota Johor mendakwa banyak jasa ayahnya, Sultan Ibrahim tidak didedahkan kepada umum.

Hari ini, Tariq berkata, kerabat diraja seperti manusia lain yang tidak dapat elak melakukan kesilapan, tetapi bangsa Melayu yang bersifat feudalisma akan memaafkan “sifat dan perbuatan kurang enak, jika ianya datang daripada seorang kerabat diraja, selagi ianya tidak melampaui batas”.

“Namun, apabila batasan adab dilampaui dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat dicabuli insan bergelar keluarga diraja, ianya memberi persepsi buruk terhadap keseluruhan kesultanan Melayu.

“Terutama sekali di dalam dunia media sosial, di mana setiap gerak langkah seseorang itu dillihat dengan amat terperinci oleh masyarakat sejagat setiap saat.

“Setiap perkataan yang ditutur akan diberi seribu pengertian, setiap jelingan yang dilontarkan akan dianugerahkan sejuta makna.

“Secara tak langsung, peradaban Melayu itu sendiri akan dipertikaikan keindahannya, seterusnya meluntur akibat pembawakan dan perawakan keluarga diraja Melayu, jika melampaui batas dan terlalu bersifat keegoan dan kebaratan.”

Tariq berkata, rakyat tidak wajib merendahkan martabat untuk menaikkan taraf raja kerana “raja yang adil disembah, raja yang zalim disanggah”.

“Jika ada yang terasa disanggah, harus tepuk dada tanya selera, seterusnya muhasabah diri sebelum seluruh peradaban Melayu Islam ditinta nila setitik.”-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");