Berita Hari Ini

Kerajaan Akan Balas Budi Rakyat pilih PH – PM

KULIM: Kerajaan akan membalas budi rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH), sebagai gabungan parti untuk memimpin negara pada pilihan raya umum lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun ada pihak yang mengatakan tiada pencapaian dibuat selepas PH menjadi kerajaan, namun sebenarnya sudah banyak yang dihasilkan oleh pemerintahan PH.

“Kita sudah selesaikan banyak masalah yang ditinggalkan parti lama (yang memerintah sebelum ini) dan kita percaya tak lama lagi keadaan negara kita akan pulih.

“Kita dah janji untuk berkongsi kekayaan negara dan kita perkenalkan dasar baharu iaitu kemakmuran bersama, kita akan tentukan tiada sesiapa akan tertinggal,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Peringkat Nasional di Kulim, malam tadi.

Dr Mahathir berkata, dasar baharu kerajaan akan dapat direalisasikan selagi rakyat menyokong segala rancangan yang disusun kerajaan.

Beliau berkata, bagi sektor pertanian, yang banyak membabitkan golongan miskin misalnya, bidang itu akan diperkenalkan dengan pelbagai pendekatan baharu, supaya rakyat di luar bandar dapat menikmati kemakmuran sama seperti di bandar.

Sementara itu katanya, selepas PH mengambil alih pentadbiran negara, semua pihak kini sudah tidak lagi berada dalam ketakutan dan bebas membuat teguran kepada kerajaan.

“Pemerintahan ini walaupun dikatakan tidak cekap, tapi lebih cekap daripada (kerajaan) dahulu dan dengan penghapusan rasuah, negara akan lebih maju dan rakyat hidup lebih sempurna,” katanya.

Hampir 20,000 rakyat hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Konvensyen MBI Desaku di Kulim itu, yang turut dihadiri Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir lapor HMetro.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");