Berita Hari Ini

Polis Tahan Pekerja Syarikat Telekomunikasi Lepas Tembakan

SHAH ALAM: Polis menahan seorang pekerja syarikat telekomunikasi selepas dipercayai melepaskan tembakan di hadapan sebuah restoran di Taman Alam Megah, Seksyen 28, di sini, pada 19 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata dalam kejadian jam 11.30 malam itu, suspek yang juga ahli kongsi gelap 77 bertindak melepaskan tembakan ke udara selepas berlaku perselisihan faham dengan sekumpulan lelaki lain.

Katanya, ketika kejadian, suspek yang berusia 34 tahun berada di kawasan itu bersama isterinya serta tiga lagi rakan lelaki.

“Suspek utama ini ditahan bersama isterinya pada 20 Jun lalu di sebuah rumah di Putra Heights Subang Jaya pada jam 6.30 petang.

“Susulan tangkapan suspek utama, pihak polis menahan tiga lagi suspek di Putra Heights dan Taman Alam Megah.

“Siasatan mendapati isteri kepada suspek utama serta tiga lagi rakan lelaki itu juga adalah ahli kongsi gelap 77,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini, hari ini.

Baharudin berkata, polis turut menemui sepucuk pistol semi auto jenis CZ Compact dalam kenderaan jenis Nissan Frontier dan 22 butir peluru hidup berukuran 9mm di ruang tamu rumah suspek utama.

“Suspek utama juga mengaku baru membeli pistol ini dari Thailand dengan harga RM3,000,” katanya.

Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960/ Seksyen 8 Akta Senjata PLB 1971.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");