Panasnya Hari Ini

Sebutan Semula Kes Rasuah RM2.8 Juta Bung Moktar, Zizie 4 Julai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 4 Julai depan untuk sebutan semula kes Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette A Samad atas dakwaan rasuah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Allan Suman Pillai memberitahu mahkamah terdapat beberapa dokumen belum lengkap.

“Hari ini pihak pendakwaan telah menyerahkan satu dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan.

“Namun, pihak pendakwaan memerlukan tarikh lain bagi penyerahan dokumen selanjutnya dalam kes ini,” katanya pada sebutan kes itu.

Peguam K Kumaraendran yang mewakili Bung Moktar, 60, mengesahkan pihaknya menerima dokumen tersebut lapor FMT.

Pihak pendakwaan turut memaklumkan pihaknya akan membuat permohonan supaya kes Bung Moktar dan Zizie Izette dibicarakan bersama dan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

“Pihak pendakwaan telah menyerahkan satu dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan hari ini dan pihak kami juga akan membuat permohonan supaya kes ini dibicara bersama pada sebutan akan datang,” kata Allan.

Kumaraendran yang turut mewakili Zizie Izette, 41, berkata pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen itu.

Pada 3 Mei lepas, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 3 pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu pengerusi Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh, iaitu Zizie Izette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan menteri kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie bagi tujuan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette yang merupakan seorang pelakon mengaku tidak bersalah atas 3 pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");