Berita Hari Ini

14,875 Jalani Ujian Saringan Kanser Servik Sehingga Bulan Ini

KUALA LUMPUR: Seramai 14,875 wanita menjalani saringan kanser serviks menggunakan kaedah ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) DNA kendalian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sehingga bulan ini, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ujian itu yang disediakan secara percuma di 49 klinik Nur Sejahtera LPPKN itu diperkenalkan kerajaan sejak Januari lalu.

“Kerajaan membelanjakan RM7 juta untuk saringan itu dan dijangka menjelang akhir tahun ini, seramai 18,000 wanita akan menjalani ujian berkenaan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Saringan Serviks Percuma Etiqa dengan kerjasama ROSE Foundation di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Mewah di sini, hari ini.

Program itu adalah kerjasama pihak swasta dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu wanita berpendapatan rendah (B40) menjalani ujian HPV secara percuma.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata hasil ujian itu, seramai 408 wanita atau 3.2 peratus didapati positif HPV, yang mana seramai 100 orang dijangkiti HPV berisiko tinggi dan mereka sudah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

Katanya, kerajaan menggalakkan wanita menjalani ujian itu kerana ia boleh mengesan kehadiran HPV dengan lebih awal sebelum terjadinya perubahan pada sel tisu di kawasan serviks.

“Di samping itu, ujian ini boleh dijalankan dengan kaedah yang lebih mudah dan tidak menyakitkan serta boleh dilakukan sendiri melalui kaedah pengambilan sampel secara sendiri.

“Saya juga minta lebih ramai syarikat korporat membantu menaja program ini supaya lebih ramai wanita memperoleh manfaat daripadanya,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan sedar keadaan hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah B40 dengan menyediakan beberapa kemudahan untuk membantu ke arah kehidupan yang lebih baik.

“Ini bersesuaian dengan manifesto Buku Harapan, bagi Janji Teras Satu, meringankan beban masyarakat dan khususnya Iltizam Kepada Wanita berkaitan kesihatan.

“Kerajaan sudah melancarkan PEKA B40, iaitu skim perlindungan kesihatan Kementerian Kesihatan yang bertujuan meringankan beban kewangan akibat penyakit tidak berjangkit yang dihidapi oleh golongan B40 yang usia lebih 50 tahun.

“Kami juga mengadakan i-Suri, iaitu skim caruman baharu di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang disesuaikan khas untuk suri rumah, balu dan ibu tunggal,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");