Perak Hari Ini

Dakwaan Projek Tenaga Solar Undang Bahaya Kepada Penduduk Tidak Benar

BAGAN SERAI- Pengurusan projek pembinaan tenaga solar di Lembah Beriah memberi jaminan akan mempertingkatkan kerja-kerja pembersihan dan aspek keselamatan penduduk setempat sepanjang projek itu berlangsung.

Ahli Parlimen Bagan Serai,Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata hasil perbincangan dalam lawatan mengejut yang dibuatnya, pihak Scatec Solar Sdn Bhd telah memberi jaminan akan lebih kerap melakukan kerja-kerja pembersihan jalan di kawasan sekitar laluan projek itu malah akan mengambil tindakan tegas termasuk membuang pekerja pemandu-pemandu lori syarikat yang bermasalah.

Menurutnya baru-baru ini telah heboh di laman sosial yang mendakwa pihak pengurusan projek mengabaikan aspek kebersihan malah dikatakan menjadi penyebab dua kemalangan membabitkan lori tapak projek dan motosikal penduduk termasuk kemalangan maut yang melibatkan seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun.

“Susulan penularan berita dan aduan dari masyarakat, saya bersama-sama sahabat Parlimen dan kakitangan Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai tampil membuat lawatan dan pertemuan mengejut ke lokasi projek dan berjumpa dengan pihak pengurusan.

“Hasil perjumpaan dan penerangan dari pihak pengurusan projek, ternyata perkara yang tular tersebut tidak tepat ekoran daripada pengurusan projek sentiasa melakukan kerja-kerja pembersihan dan tidak mengabaikan aspek kebersihan seperti yang ditularkan.

“Malah dakwaan kemalangan maut melibatkan pelajar sekolah berusia 16 yang dikatakan dilanggar lari oleh lori di tapak projek ini adalah tidak benar sama sekali kerana lori yang terbabit bukannya dari tapak projek pembinaan solar dan punca kematian mangsa pula bukanlah dilanggar lari sebaliknya berpunca dari motosikal yang ditunggang mangsa yang hilang kawalan sebelum merempuh bahagian kanan lori terbabit,” katanya ketika ditemui hari ini.

 

Noor Azmi berkata, biarpun pihak pengurusan disini tidak terlibat namun mereka tetap bersimpati dengan nasib yang dialami keluarga mangsa dan turut menghantar wakil menziarahi mangsa dan ahli keluarganya.

“Saya juga difahamkan bahawa pihak pengurusan turut menghentikan operasi selama satu hari bagi memberi penghormatan kepada mangsa dan keluarga.

“Justeru saya ingin menasihatkan kepada penduduk agar tidak sewenang-wenangnya menyalahkan satu-satu pihak tanpa usul periksa seterusnya menularkannya ke media sosial sehigga menimbulkan prasangka buruk dan fitnah,” katanya.

Tambah beliau, pihak berkuasa seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Daerah Kerian dan sebagainya turut menjalankan tugas mereka, jadi biarlah siasatan dijalankan untuk pihak berkenaan mengambil tindakan pada pihak-pihak yang bersalah.

Dalam pada itu Pengurus Projek Scatec Solar Sdn Bhd, D. Krisna, berkata pihak pengurusan akan lebih peka terhadap sebarang permasalahan dan dalam masa sama telah melantik seorang individu setempat sebagai perantara antara penduduk dan pihak pengurusan dalam membincangkan sebarang isu atau permasalahan yang berlaku sepanjang projek berjalan.

Tambahnya lagi projek kerajaan negeri yang dimulakan hujung tahun lalu telah pun berjalan hampir 40 peratus dan dijangka siap hujung tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");