Berita Hari Ini

Inkues Adib: ‘Metodologi Pakar Forensik HKL Salah’

SHAH ALAM: Metodologi yang diguna pakai Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam eksperimen untuk mengetahui punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah salah.

Ini menurut Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, yang memberitahu sedemikian kepada Mahkamah Koroner pada hari ke-38 prosiding inkues kematian Muhammad Adib hari ini.

Dr Shahrom yang merupakan saksi ke-29 inkues itu menyifatkan eksperimen yang dikemukakan Dr Ahmad Hafizam Hasmi, tidak dapat menentukan objek yang boleh menyebabkan kecederaan Muhammad Adib.

“Orang yang buat eksperimen ini tiada pengalaman, sebab metodologinya salah.

“Untuk kita buat eksperimen bukan main suka-suka…dia kena tahu konsepnya dan dalam konsep ini, kena tahu objek atau bahagian mana yang paling bersentuhan dengan si mati (yang menjadi punca kecederaan di bahagian dada kanan mangsa),” katanya di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Beliau turut berpendirian laporan berhubung punca kematian Muhammad Adib yang dikemukakan Dr Ahmad Hafizam juga tidak lengkap.

Katanya, kejadian yang menimpa Muhammad Adib itu adalah kes yang rumit dan seharusnya hasil laporan eksperimen tersebut perlu bagus dan cemerlang.

“Untuk saya, kalau kes rumit macam ini tidak lengkap kena buat complete investigation (siasatan menyeluruh). Bagi saya, laporan ini sekadar memuaskan tetapi tidak bagus dan cemerlang,” katanya.

Dalam keterangan hari ini, Dr Shahrom yang juga bekas Pakar Perunding Kanan dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz berkata, beliau turut ke lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran sebenar punca kejadian.

Katanya, beliau bertindak sedemikian selepas melihat keterangan dan laporan yang berubah-ubah ketika prosiding inkues itu berjalan.

“Dalam inkues ini saya tengok laporan dan keterangan (pihak berkaitan) berubah-ubah sebab ada alasan mahu bantu mahkamah.

“Seperti keterangan mula-mula kata arwah (Muhammad Adib) jatuh di bahu jalan dekat sini (lokasi pertama dipercayai mangsa jatuh dan cedera), tiba-tiba keluar pula punca di bahu jalan yang lain.

“Nasib baik saya sudah buat (eksprimen) di dua-dua tempat. Seratus peratus saya tolak bahu jalan sebagai punca (kecederaan)… itu tak masuk akal,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, Dr Shahrom turut memberitahu mahkamah beliau yakin kecederaan di dada Muhammad Adib adalah disebabkan tendangan daripada pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Saya melihat setiap kenderaan yang sama paras atau objek yang bersesuaian dengan kecederaan dialami. Saya mendapati hanya objek pada pintu EMRS yang sama dengan kecederaan dialami Muhammad Adib.

“Saya yakin 80 hingga 90 peratus berhubung kecederaan di dada adalah disebabkan tendangan pintu EMRS,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas, dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis, di Institut Jantung Negara lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");