Perak Hari Ini

KPM, Yayasan Persona Terap Nilai-Nilai Hebat Dalam Pelajar

BERCHAM: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama-sama Yayasan Persona yang diasaskan oleh selebriti terkenal negara, Datuk Aznil Nawawi bekerjasama dalam mengiatkan usaha untuk mengasah bakat pelajar-pelajar dalam pelbagai bidang melalui Bengkel ‘Speaking Nation’.

Program tersebut bertujuan untuk mendepani serta memperkasakan pembelajaran Abad ke-21 (PAK21), dimana ia menggabungkan beberapa elemen dalam kalangan pelajar bagi melahirkan persona yang hebat.

Menurut Aznil, bengkel tersebut merupakan idea awal yang dibawa oleh Yayasan Persona bagi mendidik pelajar-pelajar sekolah mengenai nilai-nilai murni yang patut diterapkan oleh seseorang pelajar bagi menjadikan mereka insan yang hebat.

“Idea tersebut juga bertepatan dengan nilai pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) dan oleh sebab itu, saya juga telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai ‘Ikon PAK21’ sekaligus diberi tanggungjawab bersama-sama kementerian untuk pergi ke sekolah-sekolah seluruh negara bagi mengajar mereka tentang nilai-nilai sebagai pelajar yang terbaik.

“Pelajar-pelajar ini boleh menjadi doktor, jurutera dan juga graduan yang terbaik suatu hari nanti, namun kejayaan mereka itu perlu disokong oleh nilai nilai hebat seperti ketepatan waktu, aspek penampilan, keyakinan diri, komunikasi yang baik, bekerja dalam kumpulan, kreatif, berfikiran terbuka dan juga menghormati orang lain.

“Tanpa nilai-nilai itu, kejayaan anak-anak kita tidak akan dikecapi dengan jayanya. Kita boleh jadi hebat di dunia, kita boleh jadi nombor 1 di dunia tetapi tiada guna jika nilai-nilai sebegitu tidak diterapkan dalam diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media Program Bengkel ‘Speaking Nation’ Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Putera, di sini, hari ini.

Ujar Aznil lagi, beliau akan terus bergerak ke setiap negeri untuk melunaskan tanggungjawabnya kepada pelajar-pelajar serta berkongsi ilmu yang berguna untuk mereka di masa akan datang.

“Program ini dibuat pada tahun ini dan negeri Perak merupakan lokasi keempat dan bagi program hari ini sebanyak 17 buah sekolah mengambil bahagian.

“Selepas ini kami akan memberi fokus untuk negeri-negeri yang lain termasuk Sabah dan Sarawak untuk mengangkat pelajar-pelajar atau anak-anak daripada setiap pelusuk negeri supaya menjadi insan yang hebat,”katanya.

Pada perkembangan sama, antara 17 buah sekolah yang terlibat untuk bengkel tersebut adalah SK Bandar Baru Putera, SK Perpaduan, SK Pakatan Jaya, SJKT Tanjung Rambutan, SJKC Tat Choi, SK Tambun, SK Pasukan Polis Hutan, SK Tasek Dermawan, SK Methodist Tanjung Rambutan, SJKC Bercham, SK Tasek, SK Tasek Damai, SK Wira Jaya, SK Raja Chulan, SK Seri Ampang, SJKT Gunung Rapat dan SK Seri Tanjung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");