Berita Hari Ini
Like

Rundingan Tuntut Lebihan Bayaran TSGP Masih Berjalan – Guan Eng

July 17, 2019
213 Views
0 Comments
2 minutes read
Rundingan Tuntut Lebihan Bayaran TSGP Masih Berjalan – Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih menjalankan rundingan dengan kerajaan China bagi menuntut lebihan bayaran projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa pasukan rundingan yang diketuai oleh Jabatan Peguam Negara dan wakil kementerian berkaitan telah diberi mandat untuk merunding terma, pampasan dan syarat pembatalan kontrak dan pinjaman berdasarkan prinsip bayaran ke atas kos kerja yang telah siap.

“Memandangkan sesi rundingan masih berjalan, jumlah pampasan dan sebarang bayaran yang telah dibuat masih belum dapat dimuktamadkan. Sebaik sahaja ia dimuktamadkan, Jabatan Peguam Negara akan mengesyorkan langkah terbaik bagi menuntut lebihan bayaran,” katanya, sebagaimana dilaporkan Bernama.

Guan Eng berkata demikian sebagai menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) mengenai usaha kerajaan dalam menuntut kembali jumlah RM3.54 bilion bayaran yang telah dibuat kerajaan terdahulu bagi TSGP, serta apakah rancangan alternatif untuk menjana kuasa di bahagian pantai timur Sabah.

Sementara itu, katanya, kerajaan menyedari ketidakseimbangan dalam permintaan dan penawaran bekalan elektrik di bahagian pantai barat dan pantai timur Sabah.

“Bagi menanganinya Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta kerajaan negeri Sabah sedang dalam proses memuktamadkan pelan penjanaan bagi pantai timur Sabah,” katanya.

Projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan TSGP diluluskan Kabinet pada 27 Julai 2016 dan diberikan kepada Biro Saluran Paip Petroleum China (CPPB) pada 1 November 2016 bagi membina saluran paip petroleum sepanjang 600 kilometer di pantai barat Semenanjung dan saluran paip gas sepanjang 662 kilometer di Sabah.

Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat Kementerian Kewangan, telah membuat bayaran sebanyak RM8.3 bilion ataupun 88 peratus daripada kos pembinaan RM9.4 bilion walaupun kemajuan kerja yang belum diaudit dianggar pada tahap 13 peratus.

Komen & Pendapat

Comments are closed.